Apabila amanah masjid dicemari kontroversi

MASJID yang sepatutnya menjadi tempat ibadah yang suci serta pusat pengembangan ilmu dan program keagamaan telah dicemari oleh insiden tidak bermoral yang melibatkan individu yang memegang jawatan dalam institusi masjid itu sendiri.
Januari lalu, masyarakat dikejutkan dengan insiden seorang setiausaha masjid di Bukit Baru di sini didakwa menonton kandungan lucah di dalam pejabat masjid.
Perbuatan itu terbongkar selepas disedari orang awam yang menjengah melalui tingkap kaca pejabat berkenaan dan melihat skrin komputer memaparkan kandungan tidak bermoral tersebut.
Susulan kontroversi itu, Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) menerima peletakan jawatan lelaki berusia 60-an tersebut.
Dalam insiden terbaharu, satu lagi kes tular membabitkan dakwaan tindakan menjijikkan mencabul dan merogol seorang jemaah wanita yang dikatakan berlaku di sebuah masjid di Bukit Piatu.
Lebih mengejutkan, perbuatan itu didakwa dilakukan oleh seorang siak di dalam bilik jenazah masjid berkenaan dan dikatakan berlaku berulang kali.
Wanita berusia 50-an yang mendakwa menjadi mangsa dalam insiden tersebut tampil membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan dijalankan.
Bagaimanapun, hasil siasatan mendapati tiada unsur paksaan atau elemen jenayah yang boleh membuktikan berlakunya kesalahan rogol atau cabul seperti yang didakwa.
Polis kemudiannya menyerahkan kes berkenaan kepada JAIM untuk tindakan lanjut di bawah Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka.
Walaupun kedua-dua kes ini mempunyai latar belakang dan keputusan siasatan yang berbeza, hakikatnya ia tetap memberi kesan negatif terhadap persepsi masyarakat terhadap institusi masjid.
Masyarakat menaruh harapan tinggi terhadap jawatankuasa masjid kerana mereka bukan sahaja mengurus hal ehwal pentadbiran, malah menjadi contoh kepada jemaah dan komuniti setempat.
Sebarang salah laku dilakukan oleh golongan ini lebih mudah mendapat perhatian serta memberi impak yang lebih besar berbanding kesalahan yang dilakukan oleh individu biasa.
Keadaan ini boleh menyebabkan segelintir masyarakat hilang rasa hormat terhadap institusi keagamaan selain menimbulkan persepsi negatif terhadap pengurusan masjid.
Lebih membimbangkan, insiden yang berlaku mudah tular di media sosial dalam tempoh singkat.
Meskipun membabitkan individu tertentu, kes itu boleh mencalar reputasi institusi jika tidak ditangani secara tegas dan telus.
Namun begitu, adalah tidak wajar untuk mengaitkan kes terpencil yang berlaku di beberapa buah masjid dengan keseluruhan institusi masjid di negara ini.
Ribuan masjid dan surau terus memainkan peranan yang baik dalam membimbing masyarakat serta melaksanakan pelbagai program keagamaan, pendidikan dan kebajikan yang memberi manfaat kepada komuniti setempat.
Kesucian masjid wajib dipelihara oleh semua pihak. Rumah ALLAH seharusnya menjadi tempat yang menyebarkan syiar Islam, membentuk akhlak mulia dan menyatukan ummah, bukannya menjadi lokasi yang mencetuskan kontroversi atau mencemarkan imej agama.
Integriti pengurusan masjid perlu sentiasa diperkukuhkan agar keyakinan masyarakat terhadap institusi ini terus terpelihara.
*Norafiza Jaafar ialah wartawan Sinar Harian Melaka
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

