Sekolah kontena ubah nasib kanak-kanak jalanan

Kontena sekolah itu terletak di bawah jejambat sibuk di bandar kewangan India.
Kontena sekolah itu terletak di bawah jejambat sibuk di bandar kewangan India.
A
A
A

MUMBAI - Di bawah sebuah jejambat sibuk di ibu kota kewangan India, deretan kontena berwarna pastel menempatkan sebuah sekolah luar biasa yang memberi pendidikan kepada kanak-kanak paling terpinggir di bandar itu.

Walaupun wujud undang-undang yang menjamin pembelajaran percuma bagi kanak-kanak berusia enam hingga 14 tahun, kemiskinan dan penghijrahan masih menyebabkan ramai tercicir daripada persekolahan terutamanya di bandar-bandar besar seperti Mumbai yang mana kebanyakan keluarga bergantung kepada pekerjaan tidak formal bergaji rendah untuk meneruskan kehidupan.

Kemiskinan bandar yang kronik juga menyebabkan ramai kanak-kanak terpaksa menjadi penjaja di jalanan dan ia dianggap sebagai 'pemandangan biasa'.

Mereka didedahkan kepada pembelajaran akademik dan kemahiran asas yang penting untuk masa depan.
Mereka didedahkan kepada pembelajaran akademik dan kemahiran asas yang penting untuk masa depan.

Bagi memastikan golongan itu tidak terus ketinggalan, 'Signal Shala' atau sekolah lampu isyarat itu ditubuhkan untuk puluhan kanak-kanak yang tercicir daripada sistem pendidikan formal.

Menurut pengasas inisiatif tersebut, Bhatu Sawant, sekolah kerajaan 'tidak cukup fleksibel untuk kumpulan tersebut manakala sekolah swasta yang mengenakan yuran tinggi sememangnya di luar kemampuan keluarga mereka.

Difahamkan, India mengendalikan salah satu sistem sekolah awam terbesar di dunia, namun data kerajaan bagi tahun 2024–2025 mengenal pasti hampir 1.2 juta kanak-kanak berada di luar sistem persekolahan (tidak pernah bersekolah atau telah berhenti sekolah).

Ilmu asas

Artikel Berkaitan:

Sekolah lampu isyarat itu beroperasi daripada kontena berhawa dingin yang diubah suai dan ditempatkan di jalur tanah sempit di tengah-tengah bunyi bising aliran trafik.

Pendekatan sekolah itu disesuaikan dengan realiti kehidupan jalanan.

Sekolah lampu isyarat itu ditubuhkan untuk puluhan kanak-kanak daripada keluarga miskin.
Sekolah lampu isyarat itu ditubuhkan untuk puluhan kanak-kanak daripada keluarga miskin.

Setiap pagi, bas sekolah akan melalui lorong-lorong sempit kawasan setinggan Mumbai untuk mengambil kumpulan murid yang kemudiannya akan dimandikan di sekolah kerana ramai daripada mereka tidak mempunyai akses mudah kepada kemudahan kebersihan.

Tiga hidangan makanan juga diberikan secara percuma dan waktu persekolahan lebih panjang daripada biasa.

Kelas pula dibahagikan mengikut tahap kebolehan dengan guru menyesuaikan pengajaran bagi kanak-kanak yang mungkin belum pernah memegang pensel sebelum ini.

Mereka turut diajar kemahiran asas seperti duduk dengan tenang, bercakap dengan jelas dan kaedah mengekalkan fokus.

Matlamat lebih besar

Bagi kumpulan murid itu, Signal Shala menjadi tempat perlindungan daripada realiti kehidupan yang sukar.

Balaji Laxman pernah menjual tisu di lampu isyarat demi untuk memperoleh beberapa ratus rupee sehari berkata, bilik darjah itu memberinya peluang untuk membayangkan masa depan yang berbeza.

“Saya bercita-cita mahu menjadi doktor,” kata Laxman, 12, sambil tersenyum malu.

Walaupun sekolah itu membantu ramai kanak-kanak menuju ke laluan pendidikan vokasional, Sawant memberitahu, matlamat yang lebih besar adalah dengan memastikan mereka tidak ketinggalan dalam dunia moden.

Kumpulan kanak-kanak itu menikmati masa lapang dengan bermain dan berinteraksi sesama mereka.
Kumpulan kanak-kanak itu menikmati masa lapang dengan bermain dan berinteraksi sesama mereka.

“Kita perlu mempersiapkan mereka untuk abad ke-21. Mereka perlu tahu tentang robotik, kecerdasan buatan (AI), komputer dan percetakan tiga dimensi (3D),” katanya yang telah menubuhkan dua sekolah serupa di pinggir Mumbai dilengkapi dengan makmal robotik dan kemudahan lain.

Jelasnya, inisiatif itu bergantung kepada sumbangan individu dan korporat untuk pembiayaan manakala kerajaan membantu menyediakan infrastruktur.

“Mereka juga berhak mendapat pendedahan segala ilmu yang dikuasai oleh kanak-kanak daripada golongan elit," tambahnya lagi. - AFP

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!