Lapan cedera Vellfire terbabas di LPT

Lapan cedera selepas Toyota Vellfire yang dinaiki terbabas di KM 169 LPT berhampiran Felda Bukit Tajau menghala ke Chenor pada Khamis. Foto: JBPM Pahang
Lapan cedera selepas Toyota Vellfire yang dinaiki terbabas di KM 169 LPT berhampiran Felda Bukit Tajau menghala ke Chenor pada Khamis. Foto: JBPM Pahang
A
A
A

MARAN - [DIKEMAS KINI] Lapan individu cedera selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Vellfire yang dinaiki mereka terbabas di Kilometer (KM) 169 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) berhampiran Felda Bukit Tajau menghala ke Chenor pada Khamis.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Salahuddin Isa berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 12.39 tengah hari.

Semua mangsa dibawa ke hospital berhampiran bagi mendapatkan rawatan lanjut.
Semua mangsa dibawa ke hospital berhampiran bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Menurutnya, tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Maran bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan Unit Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke lokasi.

"Pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 12.50 tengah hari dan mendapati sebuah Toyota Vellfire terbabas.

"Terdapat lapan mangsa terlibat terdiri daripada tiga lelaki, dua perempuan dan tiga kanak-kanak lelaki yang mengalami kecederaan," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Keadaan Vellfire yang terbabas di LPT berhampiran Felda Bukit Tajau menghala ke Chenor pada Khamis. Foto: JBPM Pahang
Keadaan Vellfire yang terbabas di LPT berhampiran Felda Bukit Tajau menghala ke Chenor pada Khamis. Foto: JBPM Pahang

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, mangsa yang cedera parah ialah pemandu berusia 43 tahun yang mengalami patah kaki kanan, isterinya berusia 40 tahun yang mengalami patah tulang pinggul dan tangan kanan manakala ibu pemandu berusia 71 tahun yang mengalami patah tulang rusuk serta retak tulang belakang.

Ujarnya, lima lagi mangsa terdiri daripada bapa pemandu berusia 78 tahun, ibu saudara pemandu berusia 73 tahun serta tiga anak lelaki berusia 11, tujuh dan tiga tahun yang hanya mengalami kecederaan ringan.

Beliau berkata, bagaimanapun semua mangsa tidak tersepit dalam kenderaan dan berjaya dikeluarkan.

"Semua mangsa dibawa ke hospital berhampiran bagi mendapatkan rawatan lanjut," katanya.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!