DUN Negeri Sembilan dijangka bubar esok?

SEREMBAN- Spekulasi bertiup kencang mengatakan Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan akan dibubarkan pada Jumaat.
Menurut sumber, keputusan itu telah dipersetujui pucuk pimpinan Pakatan Harapan (PH) dalam satu mesyuarat khas yang diadakan di Kediaman Rasmi Menteri Besar pada Selasa lepas.
Malah, mesyuarat berkenaan turut dilaporkan telah memutuskan mengenai pembahagian kerusi antara parti komponen PH, iaitu 16 kerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR), 11 DAP dan sembilan Parti Amanah Negara (Amanah).
"Hasil mesyuarat tempoh hari, semua pihak telah bersetuju supaya DUN dibubarkan pada Jumaat. Malah ia turut mendapat persetujuan pucuk pimpinan parti di peringkat pusat.
"Cumanya ia bergantung kepada perkenan Yang di-Pertuan Besar (YDPB) Negeri Sembilan serta persetujuan pihak berkaitan lain," katanya.
Menurut sumber itu lagi, sekiranya DUN tidak dibubarkan pada Jumaat, ia bukan disebabkan PH telah mengubah fikiran atau membuat ketetapan lain kerana takut berdepan pilihan raya seperti didakwa sesetengah pihak.
Sebaliknya, kata sumber tersebut, ia disebabkan belum mendapat perkenan YDPB atau berpunca daripada faktor lain.
Bagaimanapun katanya, PH telah memulakan gerak kerja menghadapi Pilihan Raya Negeri(PRN), termasuk menyenarai pendek calon-calon untuk dipertimbangkan oleh pihak kepimpinan tertinggi parti masing-masing.
"Persiapan sudah pun bermula dan setiap bahagian telah diminta menyenarai pendek calon-calon untuk dinilai sebelum dimuktamadkan.
"Tapi telah diputuskan daripada 36 kerusi DUN, 16 PKR, 11 DAP dan sembilan Amanah," katanya.
Dakwaan DUN Negeri Sembilan akan dibubarkan pada Jumaat turut mula diperkatakan di media sosial, namun sehingga kini belum ada sebarang pengumuman rasmi daripada Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun termasuk jemputan sidang media berkenaan perkara tersebut.
Bagaimanapun beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) DAP yang dihubungi Sinar Harian menafikan perkara itu.
Sebelum ini media melaporkan, Aminuddin mengambil masa hampir dua jam menghadap YDPB di Istana Hinggap pada Rabu.
Beliau yang ditemui pemberita sebaik kenderaannya dilihat keluar daripada Istana dengan ceria memaklumkan bahawa kehadirannya ke situ adalah pertemuan biasa sebelum mempengerusikan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).
Kenderaan dinaiki beliau kemudiannya menuju ke Wisma Negeri untuk menghadiri MMKN yang difahamkan bermula sekitar jam 11 pagi.
Kebiasaannya selepas mesyuarat tersebut, Pengerusi PH negeri itu akan mengadakan sidang media, namun dibatalkan secara tiba-tiba kerana beliau dimaklumkan mempunyai urusan penting.
Untuk rekod, pada PRN lalu, PH memenangi 17 kerusi yang mana DAP 11 kerusi, PKR lima kerusi dan satu Amanah.
Barisan Nasional (BN) memenangi 14 kerusi, manakala Perikatan Nasional (PN) menang lima kerusi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

