'Trump 007' - Presiden AS kongsi gambar jadi James Bond

WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump sekali lagi menjadi perhatian apabila memuat naik gambar dirinya sebagai ejen perisik fiksyen terkenal, James Bond, dalam siri hantaran terbaharu di platform Truth Social.
Menerusi hantaran tersebut, Trump berkongsi gambar arkib dirinya ketika muda yang disunting dengan kapsyen ringkas 'Trump 007', sekali gus mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan penyokong dan pengkritiknya.
Tindakan itu dilihat sebagai satu lagi usaha Trump menampilkan imej dirinya sebagai tokoh luar biasa, selari dengan beberapa perbandingan yang pernah dibuatnya sebelum ini dengan tokoh terkenal dunia seperti Elvis Presley, Winston Churchill dan malah Jesus Christ.
Hantaran berkenaan muncul ketika studio Amazon MGM Studios sedang giat mencari pelakon baharu untuk menggantikan Daniel Craig sebagai watak James Bond, sekali gus menghidupkan semula spekulasi mengenai siapakah yang bakal menjadi ejen 007 seterusnya.
Malah, pada Mei lalu, akaun rasmi Rumah Putih turut berkongsi ilustrasi Trump mengenakan tuksedo hitam sambil memegang pistol bersenyap ala James Bond dengan slogan 'Make America Great Again' dipaparkan pada poster tersebut.
Selain imej 007, Trump turut memuat naik gambar dirinya di hadapan lautan penyokong dengan kapsyen 'The Greatest Attraction' atau Tarikan Terhebat, menggambarkan keyakinannya terhadap pengaruh politik yang dimiliki menjelang beberapa siri pilihan raya di AS.
Dalam hantaran lain, beliau turut berkongsi foto lama bersama mendiang Whitney Houston tanpa sebarang penjelasan, menyebabkan ramai pengguna media sosial tertanya-tanya mengenai tujuan perkongsian itu.
Trump juga menggunakan platform tersebut untuk meraikan kemenangan beberapa calon Parti Republikan yang disokongnya dalam pilihan raya negeri, selain berkongsi meme politik yang menyindir lawan politik daripada Parti Demokrat.
Sementara itu, pencarian pelakon baharu James Bond terus menjadi perhatian industri hiburan global. Antara nama yang disebut-sebut sebagai calon utama ialah Aaron Taylor-Johnson, Tom Holland, Harris Dickinson, Jacob Elordi dan Callum Turner.
Watak James Bond yang dicipta oleh Ian Fleming itu sebelum ini pernah dibawakan pelakon terkenal seperti Sean Connery, George Lazenby, Roger Moore, Timothy Dalton, Pierce Brosnan dan Daniel Craig.
Walaupun perkongsian Trump itu sekadar gurauan atau sindiran politik, ia sekali lagi membuktikan kemampuannya mencetuskan perhatian global menerusi media sosial, sama ada dalam arena politik mahupun budaya popular.-Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

