Laut bertukar merah, 706 paus dan lumba-lumba dibunuh

TORSHAVN - Lebih 700 paus dan lumba-lumba dilaporkan dibunuh dalam pemburuan tahunan dikenali sebagai Grindadrap di Kepulauan Faroe, sekali gus mencetuskan kecaman hebat daripada pertubuhan hak haiwan antarabangsa.
Menurut kumpulan pemuliharaan marin, Sea Shepherd, sebanyak 706 mamalia marin termasuk paus perintis sirip panjang (long-finned pilot whale), lumba-lumba sisi putih Atlantik dan beberapa ekor lumba-lumba hidung botol dibunuh dalam tiga pemburuan berasingan yang berlangsung pada 27 Mei lalu.
Aktivis mendakwa haiwan-haiwan itu digiring ke kawasan perairan cetek sebelum dibunuh menggunakan pisau dan peralatan khas, menyebabkan laut bertukar merah akibat pertumpahan darah.
Sea Shepherd mendakwa pemburuan kali ini merupakan antara yang terbesar pernah direkodkan dan melebihi dua pertiga jumlah keseluruhan mamalia marin yang dibunuh di kepulauan tersebut sepanjang tahun lalu.
Pengarah Kempen Faroe Islands Sea Shepherd, Valentina Crast menyifatkan pembunuhan itu sebagai kejam dan tidak boleh dipertahankan.
“Tiada siapa boleh menghalalkan penderitaan melampau yang dialami haiwan-haiwan ini,” katanya sambil menggesa negara-negara Eropah mengambil tindakan bagi menghentikan amalan tersebut.
Bagaimanapun, kerajaan Kepulauan Faroe yang merupakan wilayah autonomi Denmark mempertahankan tradisi berusia lebih 1,000 tahun itu sebagai sebahagian daripada warisan budaya dan sumber makanan masyarakat tempatan.
Kontroversi turut memuncak selepas Parlimen Faroe dilaporkan meminda undang-undang kebajikan haiwan sehari sebelum pemburuan berlangsung dengan mengecualikan lumba-lumba yang diburu daripada perlindungan akta berkenaan.
Langkah itu mengundang kritikan pelbagai pihak yang menyifatkannya sebagai usaha menghalalkan pemburuan mamalia marin yang semakin mendapat tentangan masyarakat antarabangsa.-Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

