Jangan murahkan harga nyawa

Persoalannya, sampai bila masyarakat perlu menerima alasan tidak sengaja apabila perbuatan yang dilakukan jelas berbahaya dan diketahui risikonya?
Persoalannya, sampai bila masyarakat perlu menerima alasan tidak sengaja apabila perbuatan yang dilakukan jelas berbahaya dan diketahui risikonya?
A
A
A

SETIAP kali berlaku kemalangan maut di jalan raya, kita sering mendengar alasan yang sama iaitu cuai, hilang kawalan, tersilap pertimbangan ataupun pemandu itu 'tiba-tiba' ada kad OKU.

Namun hakikatnya, semakin banyak tragedi hari ini bukan sekadar berpunca daripada kecuaian biasa, tetapi akibat sikap sengaja mengambil risiko yang akhirnya mengorbankan nyawa orang lain.

Pemanduan melulu, perlumbaan haram, aksi mencelah secara agresif, memecut melebihi had laju dan mencabar pengguna jalan raya lain seolah-olah semakin menjadi budaya.

Lebih mengecewakan, ada yang menjadikan perbuatan itu sebagai kandungan media sosial untuk meraih perhatian dan populariti.

Di platform Threads, misalnya tidak sukar menemukan video atau gambar memaparkan pelbagai aksi pemanduan berbahaya.

Ada yang berbangga menunjukkan kelajuan melampau, ada yang merakam aksi mencelah kenderaan dalam keadaan berisiko, bermanja bersama awek sambil memandu, pusing stereng guna kaki, malah ada yang menganggap tindakan itu sebagai sesuatu yang menghiburkan.

Sedangkan di sebalik tontonan tersebut, nyawa pengguna jalan raya lain sedang dipertaruhkan.

Persoalannya, sampai bila masyarakat perlu menerima alasan tidak sengaja apabila perbuatan yang dilakukan jelas berbahaya dan diketahui risikonya?

Seseorang yang memilih untuk memandu secara melulu sebenarnya sedar tindakannya boleh menyebabkan kemalangan.

Artikel Berkaitan:

Apabila tindakan itu berakhir dengan kehilangan nyawa, hukuman yang dikenakan sewajarnya mencerminkan keseriusan kesalahan tersebut.

Sudah tiba masanya undang-undang mengambil pendekatan lebih tegas terhadap pesalah jalan raya yang menyebabkan kematian akibat kecuaian melampau atau tindakan berbahaya yang disengajakan.

Hukuman lebih berat bukan sekadar untuk menghukum, tetapi untuk mengingatkan bahawa jalan raya bukan litar perlumbaan dan nyawa manusia bukan bahan taruhan.

Setiap statistik kematian mempunyai wajah, keluarga dan kisah yang tidak akan kembali.

Jika kita benar-benar menghargai nyawa, maka mesejnya perlu jelas: Sesiapa yang dengan sengaja membahayakan orang lain di jalan raya mesti berdepan akibat yang setimpal. Nyawa manusia terlalu berharga untuk dibayar dengan sekadar penyesalan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!