Utamakan keselamatan ketika mendaki

BARU-BARU ini kita digemparkan dengan kes individu hilang ketika mendaki.
Merak Jalanan mengikuti isu ini dengan harapan ada mekanisme tertentu diperkenalkan bagi membolehkan ia tidak berulang lagi pada masa depan.
Bercerita mengenai pendakian atau aktiviti sukan lasak sebegini, sudah tentu yang berlegar di fikiran kita adalah soal keselamatan.
Penting untuk kita semua tahu betapa kit survival yang merangkumi peralatan asas perlu sentiasa ada tidak kira mendaki gunung mahupun bukit kecil.
Tak semestinya mahal, alatan asas wisel kecemasan, pemetik api, lampu suluh, pisau pelbagai guna, beg plastik sampah besar, peti pertolongan dan power bank wajib ada.
Ini kerana, keadaan di dalam hutan atau kawasan pergunungan memang sukar dijangka ditambah faktor cuaca yang tak menentu.
Teringat Merak Jalanan ketika menyertai pendakian ke Gunung Tahan lebih 20 tahun lalu. Ketika itu team leader berpesan, setidak-tidaknya pastikan pisau kecil, lampu suluh, pemetik api, makanan bertenaga berada di dalam poket kerana kita tidak tahu bahaya yang menanti.
Aktiviti mendaki ini bukanlah soal main-main kerana ia membabitkan risiko keselamatan jika kita bersikap sambil lewa.
Bukan itu saja, kita juga perlu pastikan fizikal dan mental cergas untuk mengharungi pendakian yang memerlukan ketahanan lebih daripada biasa, dan tidak panik jika tersesat kerana risiko tersasar lebih jauh sangat tinggi.
Dalam erti kata lain, janganlah kita mengambil mudah soal keselamatan, apatah lagi cuba buat pandai untuk sampai ke puncak paling awal. Semangat berpasukan itu sangat penting.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
