Puluhan ribu bantah kerahan tentera Israel

TEL AVIV - Puluhan ribu golongan ultra-Ortodoks melancarkan siri protes di seluruh Israel pada Isnin sebagai membantah dasar kerahan wajib tentera selepas kehilangan keistimewaan pengecualian yang sebelum ini dinikmati komuniti tersebut.
Kumpulan penunjuk perasaan itu bertindak menghalang lalu lintas dan perkhidmatan pengangkutan awam selain menyerang askar Zionis di lokasi demonstrasi.
Pihak berkuasa Israel dilaporkan berdepan kesukaran untuk mengawal demonstran yang bertindak ganas hingga terpaksa menggunakan meriam air dan mengerahkan unit berkuda bagi menyuraikan mereka.
Sebahagian penunjuk perasaan turut membawa sepanduk mengkritik kerajaan yang tertera 'kami lebih rela mati sebagai Yahudi daripada hidup sebagai Zionis' dan 'kami enggan berkhidmat untuk tentera atas nama Zionisme'.
Protes mega itu melumpuhkan bahagian tengah dan sekitar kawasan metropolitan Tel Aviv.
Perkhidmatan ketenteraan adalah mandatori bagi kebanyakan lelaki dan wanita Yahudi di Israel. Namun, parti ultra-Ortodoks yang berpengaruh dalam politik diberi pengecualian atas alasan untuk mereka menumpukan kepada pengajian agama.
Ramai penduduk Israel tidak berpuas hati dengan sistem lama yang membolehkan lelaki ultra-Ortodoks dikecualikan daripada perkhidmatan tentera ketika angkatan tentera berdepan kekurangan anggota dan ramai askar simpanan telah dipanggil berkhidmat berulang kali.
Isu berkenaan turut menggugat kerajaan 'ekstremis' pimpinan Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu dan kini berpotensi mempercepatkan pilihan raya pada akhir 2026 selepas beberapa parti ultra-Ortodoks berpaling tadah dan menarik sokongan mereka.
Setiap tahun, kira-kira 13,000 lelaki ultra-Ortodoks mencapai usia wajib kerahan 18 tahun, namun kurang daripada 10 peratus daripadanya menyertai perkhidmatan tentera.
Golongan ultra-Ortodoks meliputi kira-kira 13 peratus daripada populasi Israel dan merupakan kumpulan yang berkembang paling pesat.
Difahamkan, pengecualian itu wujud sejak penubuhan negara haram Israel pada tahun 1948 ketika sejumlah kecil pelajar berusaha memulihkan sistem pengajian agama Yahudi selepas kehancuran akibat peristiwa Holocaust (pembunuhan beramai-ramai golongan itu oleh rejim Nazi Jerman di bawah pimpinan Adolf Hitler ketika Perang Dunia Kedua). - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

