Jagung, soya naik 10 peratus, penternak mula terhimpit

KRISIS minyak global ketika ini sememangnya memberi kesan terhadap kos dalam industri penternakan namun jika dibandingkan dengan impak pencerobohan Rusia ke atas Ukraine pada 2022, perbezaannya 'bagai langit dan bumi'.
Penasihat Persekutuan Persatuan Penternak Malaysia, Jeffrey Ng Choon Ngee berkata, pemain industri secara umumnya masih mampu menyerap tekanan ekonomi, bergantung kepada keadaan masing-masing.
Menurut beliau, pihaknya percaya fasa paling berbahaya dalam krisis minyak sebenarnya sudah berlalu kerana berdasarkan maklumat hasil perbincangan dengan kerajaan, situasi dua bulan lalu jauh lebih serius berbanding sekarang.
"Ketika itu, bahan api industri juga sukar diperoleh, namun harga minyak kini sudah menurun dan keadaan semakin stabil," katanya.
Beliau turut mendedahkan bahawa dalam mesyuarat antara persekutuan dengan kerajaan pada 30 Mac lalu, pihaknya menjelaskan kenaikan kos penghantaran antarabangsa dan harga minyak mentah global menyebabkan harga jagung dan kacang soya import, dua bahan mentah utama industri penternakan meningkat sekitar 10 peratus.
Namun, kata Jeffrey, import jagung dan kacang soya Malaysia kebanyakannya datang dari Amerika Utara dan Selatan serta tidak melalui Selat Hormuz di Iran, maka tekanan ekonominya masih tidak seteruk ketika perang Rusia-Ukraine pada 2022.
Jeffrey turut memaklumkan bahawa Ukraine menyumbang kira-kira 12 peratus bekalan jagung dunia, manakala Rusia hanya beberapa peratus.
"Pada awal perang, pemain industri di seluruh dunia bimbang berlaku kekurangan bekalan jagung dan kesannya merebak ke seluruh rantaian bekalan. Ketika itu, harga jagung dan kacang soya melonjak hampir 100 peratus.
“Harga jagung meningkat daripada kira-kira RM900 per tan kepada RM1,800 per tan. Kemudian ia turun semula sekitar RM1,000 dan selepas krisis minyak, kini RM1,100 hingga RM1,200 tapi masih jauh dari RM1,800,” ujarnya.
Beliau berkata, kerajaan secara umumnya sudah pun menyediakan subsidi atau pelepasan cukai kepada pengusaha ternakan termasuk bagi telur, bahan mentah dan makanan ternakan.
Namun, pada hematnya, bahan mentah yang dihantar ke Pelabuhan Klang serta dibawa menggunakan lori daripada pelabuhan ke ladang tidak menerima subsidi diesel walaupun jaraknya agak dekat dan perkara itu tetap menjejaskan kos operasi.
“Jika ladang menggunakan generator atau traktor untuk mengangkut telur dan makanan ternakan di dalam ladang, itu juga tidak layak menerima subsidi diesel.
"Secara keseluruhan, kos operasi sememangnya meningkat, namun sukar untuk diukur dengan tepat kerana setiap ladang mempunyai skala dan operasi berbeza. Ada ladang kecil misalnya tidak menggunakan generator langsung dan hampir tidak menggunakan diesel.
“Kita perlu ada penanda aras. Jika dibandingkan dengan tempoh kos paling rendah, memang kos meningkat. Tetapi jika dibandingkan dengan tempoh kemuncak sebelum ini, harga sekarang sebenarnya sudah menurun," jelasnya.
Jeffrey dalam masa sama menegaskan bahawa memandangkan harga bahan mentah sudah meningkat hampir 10 peratus dan keseluruhan kos juga melonjak antara tujuh hingga lapan peratus sebelum tercetusnya konflik Amerika Syarikat (AS)-Iran, pasaran sepatutnya masih mampu bertahan selagi kerajaan memastikan harga berada pada tahap mampu milik.
Mengulas mengenai kemungkinan yang berlaku ekoran kekurangan bekalan pada masa depan, Jeffrey berpandangan, perkara itu sukar digeneralisasikan kerana setiap pengusaha mempunyai model perniagaan dan struktur kos berbeza.
“Saya pernah melawat Indonesia dan pengusaha di sana cakap harga diesel jadi terlalu mahal sehinggakan mereka tiada pilihan selain menghentikan operasi.
"Sekurang-kurangnya Malaysia masih ada subsidi buat masa ini. Tetapi, ada ladang yang tiada bekalan elektrik stabil dan sangat bergantung kepada generator.
"Jika diesel naik hingga RM6 atau RM7 seliter, mereka pasti tertekan walaupun kes seperti ini lebih terpencil," menurutnya.
Beliau menambah bahawa satu lagi isu besar adalah keadaan ekonomi keseluruhan dan kuasa beli pengguna.
Katanya, jika perbelanjaan pengguna terus lemah dan kuasa beli rendah, pengeluar mungkin masih terpaksa menjual pada harga murah walaupun pengeluaran meningkat.
“Bolehkah semuanya bergantung kepada subsidi kerajaan? Kerajaan juga tidak boleh terus menanggung subsidi selama-lamanya kerana kewangan negara boleh runtuh.
"Tidak boleh rakyat menikmati semua manfaat sedangkan kerajaan menanggung semua kos. Jadi saya percaya perkara paling penting adalah kerajaan dan pemain industri mengekalkan komunikasi jangka panjang," ujar beliau.
Ditanya sama ada Malaysia perlu mempertimbangkan tahap sara diri lebih tinggi jika Selat Hormuz ditutup sehingga mencetuskan krisis bahan api dan mendedahkan risiko kebergantungan sektor pertanian terhadap makanan ternakan serta racun perosak import, Jeffrey mengemukakan pandangan bernas.
Kata beliau, langkah sedemikian mampu menyebabkan kos menjadi lebih tinggi kerana Malaysia tidak mempunyai skala tanah dan kecekapan ekonomi yang diperlukan, malah akhirnya mungkin memerlukan subsidi kerajaan.
Jelasnya, realiti semasa tidak mengizinkannya sambil mengatakan Indonesia sebagai contoh jelas di mana kebanyakan jagung ditanam dalam negara dan bukan diimport, namun harga pembelian jagung makanan ternakan kini sekitar RM1,500 setan.
"Persoalannya sama ada pasaran mampu menanggung kos sedemikian atau tidak?
"Sebenarnya sangat sedikit negara yang bergantung sepenuhnya kepada jagung tempatan untuk menyokong industri penternakan mereka. Isu utama adalah bagaimana sesebuah negara memanfaatkan tanah bagi menjana pulangan ekonomi maksimum," ulas Jeffrey.
Menurutnya, apabila membincangkan keselamatan makanan, sesebuah negara perlu memahami kekuatan dan kelemahan, membangunkan industri yang mempunyai kelebihan daya saing, menjana pendapatan tinggi dan membeli bahan mentah yang lebih murah serta efisien, bukannya memaksa diri menceburi sektor yang tidak kompetitif dan tidak menguntungkan.
"Kalau tidak, kedua-dua pihak akan rugi. Harga minyak sawit kini sangat kukuh. Jika berhenti menanam sawit dan sebaliknya menanam jagung yang hasilnya lebih rendah, bukankah itu seperti mendahulukan perkara kurang penting?
"Kita tidak sepatutnya terlalu idealistik tanpa memahami realiti di lapangan," tegasnya.
Sementara itu, Jeffrey mendedahkan bahawa industri penternakan Malaysia sebenarnya sedang bergerak seiring perkembangan moden.
Beliau berpendapat, industri penternakan memerlukan modal tinggi dan apabila tenaga kerja semakin sukar diperoleh, ramai pengusaha beralih kepada automasi termasuk memasang sistem tenaga solar serta menggunakan teknologi hijau.
Namun, beliau menegaskan bahawa penternakan bukan industri dengan margin keuntungan tinggi.
"Pengusaha tidak boleh sewenang-wenangnya membeli peralatan teknologi mahal tanpa mengambil kira kos dan setiap pelaburan perlu dinilai berdasarkan tempoh pulang modal.
“Banyak ladang ternakan ayam sistem tertutup melibatkan pelaburan modal yang sangat tinggi. Untuk kekal berdaya saing, mereka perlu mengurangkan kos elektrik.
"Ramai pengusaha sudah memasang sistem solar, tetapi ia masih belum mampu menggantikan elektrik konvensional sepenuhnya pada waktu malam kerana bateri solar mahal dan jangka hayatnya terhad.
"Sebab itulah banyak ladang menggunakan tenaga solar pada siang hari dan bergantung kepada elektrik grid pada waktu malam," katanya.
Ketika ditanya sama ada Malaysia memerlukan pelan keselamatan makanan yang lebih jangka panjang dan sistematik, beliau berkata dunia sebenarnya sudah membincangkan isu sama sejak beberapa dekad lalu.
"Realitinya, selagi tidak berlaku cuaca ekstrem, bencana alam besar atau peperangan berskala besar yang menyebabkan tanah pertanian tidak boleh digunakan dalam tempoh panjang, tidak perlu terlalu bimbang tentang gangguan bekalan makanan.
“Lebih 20 tahun lalu, orang sudah risau dunia akan kehabisan makanan. Tetapi hari ini, banyak negara sebenarnya berdepan lambakan makanan sehingga terpaksa membuang hasil lebihan. Jadi saya selalu tertanya-tanya sama ada krisis makanan global yang dikatakan itu benar-benar akan berlaku,” katanya.
Beliau berkata demikian sambil contoh kes letusan Krakatoa pada 1883 apabila debu gunung berapi menghalang cahaya matahari dan menyebabkan penyejukan global luar biasa.
"Salji turun di kawasan yang biasanya tidak bersalji, cahaya matahari tidak dapat menembusi atmosfera dan tanaman gagal tumbuh.
“Ketika itulah krisis makanan yang benar-benar serius akan berlaku," ulasnya. - Sin Chew Daily
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
