Warga emas ditemukan meninggal dunia di bilik hotel

BATAM – Seorang warga emas ditemukan meninggal dunia di dalam bilik sebuah hotel di Lubuk Baja, Batam, Kepulauan Riau, Indonesia pada 21 Mei lalu.
Menurut laporan Detik.com, mangsa yang juga warga Singapura dikenali sebagai Lim Ah Ling, 70, dipercayai telah menetap di hotel berkenaan sejak tiga tahun lepas.
Ketua Polis Lubuk Baja, Kompol Deni Lengie berkata, pihaknya menerima laporan daripada pengurusan hotel kira-kira jam 12.30 tengah hari sebelum anggota polis bergegas ke lokasi kejadian.
Menurutnya, mangsa tinggal di bilik nombor 209 dan ketika pemeriksaan dijalankan, bilik berkenaan didapati berkunci.
"Pihak hotel kemudian membuka pintu menggunakan kunci pendua sebelum mangsa ditemukan dalam keadaan terlentang di dalam bilik.
"Mangsa berada bersendirian ketika ditemukan," katanya.
Beliau berkata, pasukan polis kemudiannya menghubungi Unit Identifikasi Forensik (Inafis) Polis Barelang dan Hospital Bhayangkara bagi menjalankan proses pemindahan mayat serta siasatan di lokasi kejadian.
Katanya, punca kematian masih belum dapat dipastikan dan siasatan lanjut sedang dijalankan.
"Kami masih menunggu hasil pemeriksaan pasukan forensik. Selain itu, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi turut diperiksa bagi mengenal pasti sama ada terdapat individu lain yang mengunjungi mangsa sebelum dia ditemukan meninggal dunia.
"Perkembangan lanjut mengenai kes ini akan dimaklumkan selepas siasatan selesai," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
