Bekas perisik Israel dakwa Turkiye dan Mesir mungkin jadi sasaran serangan seterusnya

WASHINGTON – Bekas penganalisis risikan Tentera Laut Amerika Syarikat yang pernah disabitkan kesalahan mengintip untuk Israel, Jonathan Pollard, mendakwa Turkiye dan Mesir berkemungkinan menjadi sasaran konflik ketenteraan Israel pada masa akan datang.
Menurut laporan media antarabangsa, Pollard membuat kenyataan itu menerusi sebuah podcast Arutz Sheva, dengan menyifatkan bahawa Israel perlu bersedia menghadapi kemungkinan perang yang lebih meluas selepas konflik dengan Iran.
“Saya tidak pasti kita akan berdepan situasi yang semudah seperti dengan Iran apabila melibatkan Turkiye.
"Kita perlu bersedia untuk perang seterusnya, yang mungkin berlaku dengan Turkiye dan Mesir. Ribut sedang datang,” katanya seperti dipetik.
Beliau turut memberi amaran supaya Israel tidak membenarkan kerajaan peralihan di Syria yang disokong Turkiye untuk menguasai semula kawasan selatan yang kini berada di bawah kawalan Israel, dengan mendakwa ia akan meletakkan Turkiye berhampiran sempadan Israel.
Kenyataan tersebut muncul ketika kebimbangan dalam kalangan pihak keselamatan Israel dilaporkan meningkat berhubung peranan Turkiye di Syria serta pengaruhnya yang semakin meluas di rantau itu.
Beberapa laporan turut memetik pandangan bekas Perdana Menteri Israel, Naftali Bennett, yang sebelum ini menyifatkan Turkiye bersama Qatar sebagai cabaran strategik utama Israel, menggantikan Iran dalam landskap ancaman serantau.
Dalam pada itu, satu jawatankuasa yang dilantik kerajaan Israel pada Januari 2025 dilaporkan memberi amaran mengenai kemungkinan konflik langsung dengan Turkiye di Syria, sekali gus menggelar Ankara sebagai 'ancaman serantau baharu'.
Mesir turut disebut dalam beberapa penilaian keselamatan Israel apabila terdapat analisis yang menyatakan wujudnya kemungkinan pembentukan pakatan lebih rapat antara Turkiye dan Mesir, yang dilihat boleh memberi tekanan strategik kepada Israel.
Jonathan Pollard, bekas pegawai risikan Amerika Syarikat, pernah dijatuhi hukuman penjara seumur hidup pada 1987 selepas didapati bersalah membocorkan maklumat sulit kepada Israel.
Beliau dibebaskan secara parol pada 2015 selepas menjalani hukuman selama 30 tahun.
Selepas dibebaskan, Pollard kemudian menetap di Israel dan sering dikaitkan dengan sokongan terhadap kumpulan politik sayap kanan negara itu, selain pernah membuat kenyataan kontroversi berkaitan isu keselamatan dan risikan.-Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

