Parti baharu dialu-alukan, tapi sukar bertapak – Ahmad Maslan

Ahmad (tengah) menyerahkan agihan daging korban di Kompleks Penghulu Mukim Benut pada Khamis.
Ahmad (tengah) menyerahkan agihan daging korban di Kompleks Penghulu Mukim Benut pada Khamis.
A
A
A

PONTIAN - Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Seri Ahmad Maslan mengalu-alukan kesediaan Parti Bersama Malaysia (Bersama) yang mahu bertanding di 56 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang sebagai satu amalan demokrasi.

Bagaimanapun Ahmad yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO menjelaskan realiti parti baharu sememangnya sukar untuk bertapak dan bertahan dalam arena politik negara.

"Saya tidak berniat untuk mengecilkan mana-mana parti baharu seperti Pejuang atau mana-mana parti lain. Namun, realitinya kita melihat banyak parti baharu sukar untuk bertapak kukuh.

"Saya juga melihat beberapa parti baharu kini tidak lagi menonjol seperti sebelumnya, selain parti-parti baharu yang cuba bertapak dalam politik negara berdepan cabaran besar untuk kekal konsisten dan mendapat sokongan rakyat," katanya selepas Majlis Penyampaian Daging Korban DUN Benut di Kompleks Penghulu Mukim Benut pada Khamis.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pontian menegaskan, UMNO tidak mahu mengambil kesempatan di atas kelemahan parti lain, sebaliknya kekal teguh melalui kekuatan dalaman dan struktur organisasi yang kukuh di peringkat akar umbi.

"UMNO juga tidak akan mencampuri urusan parti-parti lain serta tidak menjadikan kelemahan pihak lain sebagai asas kekuatan parti dalam menghadapi landskap politik semasa.

"UMNO kini memiliki kekuatan organisasi yang besar dengan kira-kira 22,000 cawangan, 191 bahagian serta sekitar 3.6 juta ahli di seluruh negara," ujarnya.

Tambah beliau, UMNO akan terus memperkukuh persediaan menghadapi PRN akan datang termasuk di Melaka, Johor, Perlis dan Negeri Sembilan.

Pada 23 Mei lalu, Pengerusi Jawatankuasa Sementara Bersama Johor, Abd Hamid Ali dilaporkan berkata, Bersama kini sedang menyusun gerak kerja dengan sasaran kesemua 56 DUN di negeri ini.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!