Tabung korban serendah RM20 menerusi AGROKorban-i

AGROBANK menyasarkan sebanyak 5,000 bahagian korban dapat dilaksanakan tahun depan menerusi Akaun Simpanan AGROKorban-i yang dilancarkan bagi membantu umat Islam membuat persediaan kewangan lebih awal untuk menunaikan ibadah korban.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, produk deposit patuh Syariah itu membolehkan pelanggan menabung secara berperingkat dengan deposit permulaan serendah RM20.
Menurutnya, akaun itu diwujudkan sebagai simpanan bermatlamat khusus untuk ibadah korban berbeza dengan simpanan biasa yang tidak mempunyai sasaran tertentu.
"Pelanggan boleh menetapkan jumlah tabungan mengikut tempoh yang dirancang sama ada setahun atau dua tahun sehingga mencapai sasaran untuk melaksanakan ibadah korban.
"Ibadah korban bukan sahaja menuntut keikhlasan dan kemampuan, malah memerlukan perancangan kewangan yang baik,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran produk itu di Agrobank Cawangan Tanjong Karang di sini pada Khamis.

Majlis pelancaran Akaun Simpanan AGROKorban-i diadakan bersempena program Agro Korban 2026 iaitu inisiatif tahunan Agrobank dalam menyantuni komuniti menerusi pelaksanaan ibadah korban dan pengagihan daging kepada masyarakat setempat.
Tengku Ahmad Badli berkata, inisiatif itu juga diharap dapat mendidik masyarakat supaya mengamalkan budaya menabung secara konsisten demi tujuan lebih bermakna.
Katanya, Agrobank mahu menyediakan penyelesaian kewangan yang praktikal selain memberi kemudahan kepada komuniti Islam membuat persediaan awal secara mudah dan patuh syariah.
"Kita berharap usaha ini dapat membantu pelanggan mengurus kewangan dengan lebih baik di samping memperkukuhkan nilai keprihatinan sosial serta memberi manfaat kepada diri sendiri, keluarga dan masyarakat," jelas beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

