Aidiladha 'paling mahal'

KONFLIK yang masih berlarutan di Asia Barat telah menyebabkan beberapa negara berdepan pelbagai kesukaran untuk menyambut Aidiladha seperti kebiasaan apabila peperangan, krisis kemanusiaan dan ketidakstabilan politik menjejaskan bekalan makanan, kemudahan ibadah serta keselamatan rakyat.
Keadaan itu, sekali gus menghalang umat Islam daripada meraikan hari yang penuh keberkatan tersebut dalam suasana aman, meriah dan sempurna bersama keluarga serta masyarakat, malah ada yang terpaksa menyambut Aidiladha dalam serba kekurangan serta penuh keperitan.
Kesusahan itu kini dirasai bapa kepada lapan anak, Abdullah Khan yang mengusahakan gerai buah-buahan kering dan barangan runcit di ibu kota Pakistan selama 20 tahun.

"Perniagaan saya merosot ke tahap paling teruk. Kenaikan harga bahan api dan makanan selain ketidaktentuan ekonomi yang dikaitkan dengan ketegangan di Asia Barat menyebabkan pelanggan semakin berkurangan.
"Segala-galanya menjadi mahal disebabkan lonjakan harga petrol dan banyak barangan kini berada di luar kemampuan pengguna. Situasi ini memberi impak besar kepada punca pendapatan saya. Sekarang pasar hanya dibuka tiga kali seminggu. Tempoh singkat itu tidak cukup untuk menampung perbelanjaan dan keperluan keluarga saya," ujarnya.
Kemerosotan itu berlaku ketika Islamabad berdepan peningkatan kos sara hidup baharu menjelang Aidiladha dengan kadar inflasi pengguna kembali meningkat ke paras dua digit buat pertama kali dalam hampir dua tahun.
Menurut data rasmi, kadar inflasi meningkat hampir 11 peratus pada April berbanding 7.3 peratus pada bulan sebelumnya.
Gangguan berterusan di Selat Hormuz turut menambah tekanan terhadap Pakistan yang banyak bergantung kepada bekalan tenaga dari Asia Barat melalui laluan strategik itu. Peningkatan kos makanan dan pengangkutan terus menekan perbelanjaan isi rumah.

Khan turut bimbang terhadap kekurangan bekalan kerana import beberapa jenis buah-buahan kering dan kekacang dari Iran terjejas sejak beberapa minggu kebelakangan ini.
“Stok yang tinggal hanya cukup bertahan untuk tempoh beberapa hari lagi. Di pasaran juga bekalan sukar diperoleh dan ada dijual pada harga jauh lebih tinggi,” tambahnya.
Di seluruh negara Asia Selatan itu, ramai pengguna mengakui mereka terpaksa mengurangkan perbelanjaan menjelang musim Hari Raya Korban pada tahun ini.
Harga haiwan korban melonjak
Gelombang kejutan ekonomi turut melanda sebuah pasar ternakan di ibu kota Turkiye apabila kenaikan harga bahan api dan kos pengangkutan menyebabkan harga haiwan korban meningkat menjelang Aidiladha.
Ia menambah tekanan kepada isi rumah yang sudah pun bergelut dengan inflasi berterusan dan penyusutan kuasa beli.
Kadar inflasi tahunan yang kini mencecah kira-kira 32 peratus menyebabkan peningkatan kos sara hidup dan menjadikan pelaksanaan ibadah itu semakin sukar bagi kebanyakan keluarga.
"Harga bahan api memberi impak besar kepada kos makanan haiwan ternakan. Harga meningkat dengan sangat tinggi,” kata peniaga ternakan, Ali Ustuner
Pelanggan pasar ternakan, Bayram Ozkamci hanya mampu melihat beberapa ekor kambing sebelum berlalu pergi tanpa membuat sebarang pembelian.
"Berbanding tahun lalu, keadaan kali ini tidak begitu baik. Harga meningkat kira-kira 70 hingga 80 peratus,” katanya.
Seorang lagi peniaga ternakan, Abdurrahman Kose, berkata, kos pengangkutan meningkat seiring kenaikan harga diesel manakala harga baja pula melonjak hampir tiga kali ganda hingga menyebabkan kos makanan ternakan dan pengeluaran terus melonjak.
"Seekor kambing yang berharga 17,000 lira (RM1,475) pada tahun lalu kini mencecah 35,000 lira (RM3,037)," ujarnya.
Data rasmi Institut Statistik Turkiye menunjukkan pengeluaran daging merah negara itu juga menurun 10.5 peratus tahun ke tahun kepada kira-kira 1.9 juta tan pada 2025.
Menurut Ketua Dewan Persatuan Tukang Daging Ankara, Fazli Yalcindag, semakin ramai keluarga kini memilih untuk berkongsi daging korban atau membeli haiwan yang lebih kecil bagi mengurangkan kos.
“Tahun ini, hampir setiap pelanggan membuat kiraan perbelanjaan dengan sangat teliti,” tambahnya lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

