Bekalan elektrik terputus, dua pelajar maut terhidu asap beracun generator

Dua pelajar ditemui dalam keadaan mulut berbuih dipercayai akibat terhidu asap beracun daripada set generator dalam kejadian di Indonesia.
Dua pelajar ditemui dalam keadaan mulut berbuih dipercayai akibat terhidu asap beracun daripada set generator dalam kejadian di Indonesia.
A
A
A

SUMATERA BARAT – Dua pelajar maut manakala seorang lagi kritikal selepas dipercayai terhidu asap beracun daripada generator semasa bekalan elektrik terputus di sebahagian besar Sumatera Barat, Indonesia.

Kejadian tragis itu berlaku di Masjid Nurul Huda, Kecamatan X Koto, Kabupaten Tanah Datar pada malam Jumaat, membabitkan tiga pelajar yang berada di kawasan berkenaan pada waktu itu.

Difahamkan, ketika kejadian, pelajar terbabit menggunakan generator sebagai sumber tenaga alternatif bagi menerangi kawasan masjid serta mengecas peranti, namun alat tersebut diletakkan di dalam ruang tertutup.

Keadaan itu dipercayai menyebabkan gas karbon monoksida daripada generator terkumpul di dalam ruang berkenaan sehingga menyebabkan ketiga-tiga mangsa tidak sedarkan diri.

Menurut Ketua Kampung Pandai Sikek, Mas'ap W Dt Bandaro, set generator berkenaan dipinjamkan dan baru diservis sebelum digunakan ketika kejadian.

“Ketika itu bekalan elektrik terputus, jadi mereka hidupkan generator yang diletakkan dalam ruangan tertutup. Mereka juga dipercayai tertidur ketika mengecas telefon,” katanya.

Insiden terbabit hanya disedari pada keesokan paginya apabila seorang penjaga masjid cuba mengejutkan ketiga-tiga mangsa namun mendapati mereka tidak memberi respons.

Seorang ahli keluarga kemudian hadir ke lokasi sebelum mendapati keadaan mangsa sudah lemah, dengan dua daripadanya ditemui dalam keadaan mulut berbuih.

Kesemua mangsa segera dibawa ke hospital, namun dua daripadanya disahkan meninggal dunia manakala seorang lagi masih menerima rawatan.

Artikel Berkaitan:

Ketiga-tiga mereka terbabit merupakan pelajar dari institusi pendidikan berbeza termasuk seorang pelajar madrasah.

Pihak berkuasa kini menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian tersebut. – Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!