Putera Hisahito pewaris harapan keluarga diraja Jepun

Putera Hisahito
Putera Hisahito
A
A
A

PEWARIS muda keluarga diraja Jepun, Putera Hisahito kini menjadi perhatian media dan masyarakat ketika perdebatan mengenai sistem perwarisan takhta negara itu kembali hangat diperkatakan.

Putera berusia 19 tahun itu berada di kedudukan kedua dalam susur galur perwarisan takhta selepas bapanya, Putera Mahkota Fumihito.

Beliau kini melanjutkan pengajian dalam bidang alam sekitar di Universiti Tsukuba.

Putera Hisahito ketika menghadiri upacara kedewasaannya di Istana Diraja di Tokyo pada 6 September 2025.
Putera Hisahito ketika menghadiri upacara kedewasaannya di Istana Diraja di Tokyo pada 6 September 2025.

Status Hisahito sebagai bakal maharaja menyebabkan kehidupannya sentiasa menjadi perhatian termasuk spekulasi mengenai kehidupan peribadi dan isu keselamatan ketika berada di kampus.

Pemerhati diraja dan penyokong institusi monarki Jepun turut menyuarakan kebimbangan terhadap tekanan yang dihadapi beliau pada usia muda dan menggesa media memberi ruang kepada Hisahito menumpukan perhatian terhadap pengajian.

Cetus perdebatan

Kemunculan Hisahito di pentas awam turut menghidupkan semula perdebatan mengenai undang-undang perwarisan takhta Jepun yang hanya membenarkan pewaris lelaki menaiki takhta negara Asia Timur itu.

Artikel Berkaitan:

Perdebatan semakin rancak apabila ramai rakyat Jepun dilaporkan menyokong Puteri Aiko, anak sulung Maharaja Naruhito untuk menjadi pemerintah wanita pertama Jepun sejak pertengahan abad ke-18.

Bagaimanapun, golongan konservatif tetap mempertahankan tradisi perwarisan lelaki yang diamalkan sejak ratusan tahun lalu dan menegaskan Perlembagaan semasa tidak membenarkan maharani memerintah.

Ketika ini, Hisahito merupakan satu-satunya pewaris lelaki muda dalam keluarga diraja Jepun sekali gus menjadikan kedudukannya amat penting bagi kesinambungan institusi monarki negara itu.

Jepun meraikan detik bersejarah apabila Putera Hisahito secara rasmi melangkah ke alam dewasa melalui satu istiadat penuh adat di Istana Diraja, ketika negara tersebut turut berdepan perdebatan berterusan mengenai isu pewarisan takhta.
Jepun meraikan detik bersejarah apabila Putera Hisahito secara rasmi melangkah ke alam dewasa melalui satu istiadat penuh adat di Istana Diraja, ketika negara tersebut turut berdepan perdebatan berterusan mengenai isu pewarisan takhta.

Tekanan besar

Penganalisis melihat perhatian melampau terhadap Hisahito sebagai gambaran tekanan besar yang perlu dipikul seorang pewaris takhta sejak usia muda.

Selain menjaga imej keluarga diraja, beliau juga perlu menyesuaikan diri dengan kehidupan sebagai mahasiswa di tengah-tengah kawalan keselamatan ketat dan perhatian media.

Putera Hisahito sedang menunggang basikal di Universiti Tsukuba di Tsukuba, wilayah Ibaraki.
Putera Hisahito sedang menunggang basikal di Universiti Tsukuba di Tsukuba, wilayah Ibaraki.

Rangkaian media tempatan sebelum ini melaporkan pihak universiti turut meningkatkan langkah keselamatan bagi memastikan keselamatan Hisahito sepanjang berada di kampus.

Spekulasi mengenai kehidupan sosial dan hubungan peribadinya juga sering menjadi bahan laporan media hiburan sehingga menimbulkan kritikan daripada penyokong keluarga diraja.

Masa depan monarki

Perdebatan mengenai perwarisan takhta kembali mendapat perhatian selepas keluarga diraja Jepun semakin mengecil disebabkan undang-undang yang menyebabkan puteri diraja kehilangan status apabila berkahwin dengan rakyat biasa.

Situasi itu menimbulkan persoalan mengenai masa depan institusi diraja Jepun yang kini berdepan kekurangan waris lelaki.

Walaupun terdapat desakan supaya wanita dibenarkan menaiki takhta, kerajaan setakat ini masih berhati-hati untuk melakukan perubahan terhadap tradisi diraja negara itu.

Dalam suasana tersebut, Hisahito dilihat bukan sekadar penuntut universiti biasa, sebaliknya simbol penting masa depan monarki Jepun dalam menghadapi perubahan zaman moden.

5 Fakta Menarik Putera Hisahito

Putera Hisahito
Putera Hisahito

- Putera Hisahito dilahirkan pada 6 September 2006, cahaya mata kepada Putera Mahkota Fumihito dan Puteri Kiko.

- Beliau kini berada di kedudukan kedua di bawah perwarisan takhta Maharaja Jepun selepas bapanya.

- Putera pertama dilahirkan dalam keluarga diraja Jepun selepas 41 tahun.

- Beliau melanjutkan pengajian dalam bidang biologi dan alam sekitar di Universiti Tsukuba.

- Putera Hisahito mempunyai minat mendalam terhadap serangga terutamanya pepatung.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!