Deruman Bunian Bikerz di Serambi Mekah

BAGI sesetengah orang, cuti Hari Pekerja adalah masa terbaik untuk berehat di rumah sambil melayan pendingin hawa dan tilam empuk.
Namun bagi sekumpulan sahabat Bunian Bikerz, cuti 1 Mei lalu membawa makna berbeza. Ia bukan sekadar hari cuti, tetapi peluang untuk kembali menikmati nikmat persahabatan di atas jalan raya.
Dengan deruman enjin, seramai 10 penunggang motosikal berkuasa tinggi sepakat mengatur kayuhan santai menuju Kota Bharu, Kelantan.
Sebuah perjalanan yang akhirnya meninggalkan lebih daripada sekadar jejak tayar, ia menjadi catatan tentang persahabatan, kesetiaan dan cabaran bagi sahabat-sahabat Bunian Bikerz.
Segalanya bermula seawal jam 4.30 pagi di Petron NKVE. Dalam suasana subuh yang masih pekat, satu demi satu jentera mula memenuhi kawasan pertemuan.

Shah selaku ketua konvoi atau “Cip” sudah siap siaga bersama Yamaha Tracer miliknya sebelum disusuli rakan-rakan lain seperti Cik Man (Yamaha Tracer 9GT), Mie Racer (BMW XR1000), Azmi (Yamaha MT09), Jepp (BMW GSA1200), Ucop (BMW GSA1200), Pok Nik (Yamaha MT09), Ijad (Yamaha Tracer), Jimi (Suzuki Vstrom 1050) dan saya menunggang Yamaha MT09.
Daripada 10 jentera yang menyertai perjalanan itu, hanya dua riders tampil solo iaitu Cik Man dan Azmi.
Selebihnya hadir bersama isteri masing-masing yang bukan sekadar pembonceng, tetapi peneman setia sepanjang perjalanan menuju Pantai Timur.
Walaupun jadual asal menetapkan pelepasan tepat jam 5 pagi, seperti mana-mana konvoi besar, pasti ada sedikit “drama pembukaan”.
Jimi mengalami masalah teknikal sebelum keluar rumah. Mujur isu itu dapat diselesaikan dengan cepat sebelum konvoi akhirnya bergerak meninggalkan ibu kota.
Perhentian pertama dilakukan di Felda Mempaga, Bentong untuk menunaikan solat Subuh.
Seusai solat, suasana pagi dihangatkan dengan sarapan roti canai bersama kuah kari kambing di sebuah warung berhampiran.
Bagi riders jarak jauh, sarapan panas seperti itu bukan sekadar alas perut, tetapi sumber tenaga sebelum menghadapi perjalanan panjang.

Perjalanan menuju Gua Musang kemudian menjadi cabaran sebenar buat semua peserta. Laluan yang terkenal dengan panorama bukit batu kapur itu sememangnya indah, namun jumlah kenderaan yang banyak sempena cuti umum menyebabkan trafik agak sesak. Kami berhenti rehat sebentar di RnR Gua Musang.
Menjelang tengah hari, cuaca mula membahang. Bahang panas di atas jalan tar mencetuskan fenomena fatamorgana sehingga sedikit mengganggu penglihatan.
Dalam keadaan itu, Shah sentiasa mengingatkan ahli konvoi supaya menjaga jarak dan menunggang secara berhemah.
Selepas mengisi minyak di Kuala Krai dan menikmati makan tengah hari ringkas, perjalanan diteruskan sebelum semua jentera akhirnya selamat tiba di MyZura Homestay Pasir Hor sekitar jam 3 petang.

Pok Nik bagaimanapun tidak menyertai kami di Kota Bharu. Beliau meneruskan perjalanan ke kampungnya di Bachok.
Keletihan jelas dirasai selepas menempuh ratusan kilometer dalam cuaca panas terik. Aktiviti petang dibatalkan dan masing-masing memilih untuk berehat di bilik bagi mengumpul semula tenaga.
Namun apabila malam menjelma, suasana kembali hidup. Pekarangan homestay bertukar menjadi lokasi BBQ santai yang penuh gelak tawa.
Shah mengambil tugas sebagai tukang bakar utama dibantu rakan-rakan lain menyediakan ayam, ikan dan hotdog untuk rakan-rakan. Golongan wanita pula menyediakan air dan buah-buahan.

Suasana menjadi lebih bermakna apabila ibu bapa Shah yang menetap di Kota Bharu turut hadir membawa mihun Singapura air tangan keluarga. Dua wartawan Sinar Harian iaitu Hazel dan Adila turut menyertai.
Momen seperti itu mungkin kelihatan kecil bagi orang luar, tetapi bagi riders, itulah nilai sebenar sebuah perjalanan, makan bersama, bergelak bersama dan menikmati kehangatan persahabatan seperti keluarga sendiri.
Hari kedua pula lebih santai dan dipenuhi aktiviti healing. Selepas menikmati sarapan di sebuah restoran popular yang dipenuhi pelanggan, Bungkus 1, kami bergerak ke Pasar Besar Siti Khadijah. Di sinilah “kuasa pembonceng” mula terserlah apabila sesi beli-belah mengambil alih jadual perjalanan.
Kotak simpanan motosikal yang pada awalnya kosong mula penuh dengan kain pasang, pakaian dan pelbagai barangan tradisi Kelantan. Konvoi kemudian bergerak ke Pantai Kemasin, Bachok untuk menikmati angin laut sambil merakam gambar kenangan.
Ketika perut kembali berkeroncong, kami singgah menikmati sup ketam di Pasir Hor. Hidangan yang bukan sahaja menyelerakan, malah cukup mesra poket.
Makan malam sepatutnya di sebuah restoran yang viral di Kota Bharu tetapi kami tidak jadi masuk kerana terlalu ramai pelanggan, sampai terpaksa beratur panjang di luar.
Malam terakhir di Kota Bharu dihabiskan dengan bersiar-siar di Uptown Kota Bharu sebelum semua kembali berehat untuk menghadapi perjalanan pulang keesokan harinya.
Namun seperti lumrah setiap pengembaraan, perjalanan pulang sering hadir bersama ujian tersendiri.
Ketika menuju Tok Bali pada pagi terakhir, motosikal BMW XR1000 milik Mie Racer mengalami kemalangan kecil di simpang lampu isyarat. Walaupun motosikal tidak mengalami kerosakan serius, isterinya mengalami kecederaan di bahagian siku yang kemudiannya disahkan mengalami keretakan kecil.
Insiden itu sedikit sebanyak mengganggu emosi seluruh konvoi. Namun atas semangat setiakawan, kami memilih untuk meneruskan perjalanan secara perlahan dan lebih berhati-hati.
Dalam perjalanan pulang, kami sempat singgah menikmati ikan celup tepung di Pantai Penarik serta membeli keropok lekor sebagai buah tangan sebelum meneruskan perjalanan menuju lebuh raya.
Sebaik memasuki kawasan Paka, langit mula berubah mendung sebelum hujan turun membasahi perjalanan mereka.
Hujan lebat di Temerloh dan Lanchang menjadi ujian terakhir buat seluruh konvoi.
Ada ketika terpaksa berhenti berteduh, dan ada masanya memilih untuk terus meredah hujan demi mempercepat perjalanan pulang. Dalam kesejukan malam dan pakaian hujan yang sudah lencun, semangat riders tetap tidak luntur.
Bagi kami, selagi semua masih bergerak bersama, perjalanan itu belum dianggap sukar. Persinggahan terakhir di BHP Karak sebelum semua riders berpecah menuju destinasi masing-masing.
Di situlah kami bersalaman, berpelukan dan mengucapkan terima kasih atas perjalanan yang penuh kenangan itu.
Walaupun kepenatan jelas terpancar di wajah masing-masing, senyuman tetap terukir. Tepat jam 9 malam, satu demi satu mesej “safe sampai rumah” memenuhi grup WhatsApp konvoi.
Trip Hari Pekerja 2026 itu akhirnya melabuhkan tirai dengan seribu satu cerita — daripada roti canai kuah kambing di awal pagi, bahang panas Gua Musang, insiden kecil di Tok Bali, hinggalah pengalaman menggigil meredah hujan di Lanchang.
Perjalanan itu mungkin hanya berlangsung beberapa hari, tetapi nilai persahabatan yang dibina di atas jalan raya akan kekal jauh lebih lama daripada kesan tayar di atas lebuh raya. Kerana bagi seorang rider, motosikal hanyalah jentera.
Yang paling penting sebenarnya adalah sahabat-sahabat yang sanggup menempuh perjalanan bersama.
Kita mungkin menunggang jentera yang berbeza, namun matlamat kita tetap sama - pergi bersama, pulang bersama, dan tiada siapa yang ditinggalkan. Kita repeat lagi dalam ride akan datang!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
