Taman Laut jadi sasaran 'pencuri' hasil laut

Antara hasil laut yang dicuri di kawasan Taman Laut. Gambar kecil : Adnan Hussain
Antara hasil laut yang dicuri di kawasan Taman Laut. Gambar kecil : Adnan Hussain
A
A
A

SHAH ALAM – Menceroboh di waktu lewat malam dan awal pagi selain menggunakan khidmat tonto laut bagi 'memantau' kehadiran pihak berkuasa antara taktik penceroboh Taman Laut untuk mencari hasil laut yang lebih lumayan.

Itu antara yang dikesan Jabatan Perikanan (DOF) berdasarkan statistik penguatkuasaan di Taman Laut yang merekodkan 11 kes dalam tempoh dua tahun iaitu 2024 dan 2025.

Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Adnan Hussain berkata, kawasan Taman Laut lazimnya kaya dengan biodiversiti serta menjadi habitat pembiakan dan asuhan pelbagai spesies bernilai tinggi.

“Keadaan ini menjadikan kawasan tersebut sasaran pihak tidak bertanggungjawab.

"Aktiviti yang dilakukan bukan sekadar memancing biasa, malah melibatkan penggunaan ‘spear fishing’ dan peralatan penangkapan ikan seperti pukat hanyut, pukat tunda bagi mengambil hasil laut secara terus,” katanya kepada Sinar Harian sempena Hari Biodiversiti Sedunia yang disambut pada 22 Mei.

Beliau berkata, daripada segi modus operandi pencerobohan di Taman Laut lazimnya dilakukan secara berkumpulan kerana ia melibatkan pergerakan bot.

Jelasnya, pelbagai taktik licik digunakan oleh pihak yang menceroboh kawasan Taman Laut bagi mengelakkan pengesanan antaranya termasuk menjalankan aktiviti pada waktu lewat malam atau awal pagi ketika jarak penglihatan terhad dan keadaan persekitaran lebih sunyi.

Antara individu yang ditahan DOF kerana menceroboh Taman Laut.
Antara individu yang ditahan DOF kerana menceroboh Taman Laut.

Artikel Berkaitan:

“Mereka juga menggunakan bot yang menyerupai vesel nelayan tradisional bagi mengaburi pihak berkuasa serta mengurangkan kecurigaan.

"Selain itu, terdapat kes di mana khidmat individu yang bertindak sebagai tonto laut digunakan untuk menyalurkan maklumat awal mengenai pergerakan dan rondaan aset penguat kuasa," katanya.

Katanya lagi, tindakan ini jelas bercanggah dengan peruntukan undang-undang yang melarang sebarang aktiviti penangkapan, pengambilan atau pemusnahan sumber dalam kawasan Taman Laut yang diwartakan.

Tambahnya, Malaysia mempunyai 56 pulau yang telah diwartakan sebagai Taman Laut Malaysia di bawah Akta Perikanan 1985 [Akta 317] yang merangkumi perairan sejauh satu, dua dan tiga batu nautika arah laut dari titik terluar pulau-pulau yang diukur pada tikas air surut.

“DOF sentiasa memperkukuh strategi pemantauan melalui rondaan berjadual dan bersepadu serta penggunaan sistem pemantauan bagi memastikan sebarang cubaan pencerobohan dapat dikesan dan diambil tindakan sewajarnya,” ujarnya.

Tegas Adnan, rondaan dan pemantauan tetap dilaksanakan mengikut perancangan strategik, manakala Pusat Komunikasi Perikanan (FishCOM) beroperasi 24 jam sehari bagi memantau pergerakan vesel perikanan secara berterusan.

”Sebarang aktiviti pencerobohan atau pengambilan hasil laut tanpa kebenaran dalam kawasan Taman Laut yang diwartakan adalah suatu kesalahan di bawah Akta 317," ujarnya

INFO

Senarai Taman Laut

(A) Terengganu (13 pulau)

1. Pulau Redang

2. Pulau Perhentian Kecil

3. Pulau Perhentian Besar

4. Pulau Lang Tengah

5. Pulau Susu Dara

6. Pulau Lima

7. Pulau Ekor Tebu

8. Pulau Pinang

9. Pulau Nyireh

10. Pulau Tenggol

11. Pulau Yu Besar

12. Pulau Yu Kecil

13. Pulau Kapas

(B) Pahang (9 pulau)

1. Pulau Tioman

2. Pulau Labas

3. Pulau Sepoi

4. Pulau Jahat

5. Pulau Tokong Bahara

6. Pulau Ceben

7. Pulau Tulai

8. Pulau Sembilang

9. Pulau Seri Buat

(C) Johor (24 pulau)

1. Pulau Rawa

2. Pulau Babi Hujong

3. Pulau Babi Tengah

4. Pulau Babi Besar

5. Pulau Aur

6. Pulau Pemanggil

7. Pulau Harimau

8. Pulau Gual

9. Pulau Mensirip

10. Pulau Sibu Hujong

11. Pulau Mentigi

12. Pulau Mertang Barat

13. Pulau Mertang Tengah

14. Pulau Mertang Timur

15. Pulau Lima Kechil

16. Pulau Lima Besar

17. Pulau Tokong Rakit

18. Pulau Tokong Yu

19. Tokong Gantang

20. Tokong Condong

21. Tokong Belalai

22. Tokong Chupak

23. Pulau Sibu

24. Pulau Tinggi

(D) Kedah (4 pulau)

1. Pulau Kacha

2. Pulau Lembu

3. Pulau Payar

4. Pulau Segantang

(E) Melaka (3 pulau)

1. Pulau Undan

2. Pulau Nangka

3. Pulau Dodol

(F) Wilzyah Persekutuan Labuan (3 pulau)

1. Pulau Kuraman

2. Pulau Rusukan Besar

3. Pulau Rusukan Kecil

Pewartaan Taman Laut bertujuan melindungi dan memulihara ekosistem marin yang sensitif termasuk terumbu karang, habitat hidupan marin serta memastikan sumber perikanan negara dapat dikekalkan secara lestari untuk generasi sekarang dan akan datang.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!