Lelaki ditahan pandu trak Tesla dalam tasik

AUSTIN - Seorang pemandu cybertruck di Texas, Amerika Syarikat (AS) ditahan selepas dia memandu kenderaan itu ke tengah tasik menggunakan ciri wade mode.
Trak elektrik yang dijual pada harga AS$80,000 (RM317,000) itu ditemui di Tasik Grapevine pada awal minggu lalu.
Pihak berkuasa memaklumkan pelaku dikenali sebagai Jimmy Jack McDaniel, 70, sengaja memandu ke dalam tasik untuk menguji ciri itu yang membolehkan pemandu meredah kawasan air yang cetek.
"McDaniel bagaimanapun meninggalkan trak itu yang tersadai selepas ia masuk ke dalam air," ujar jurucakap Polis Grapevine.
Jabatan bomba kemudiannya dikerahkan ke lokasi kejadian untuk mengeluarkan cybertruck tersebut dan disusuli penahanan suspek.
McDaniel berdepan pertuduhan kerana mengendalikan kenderaan di kawasan taman atau tasik yang ditutup dan pelbagai pelanggaran peraturan keselamatan air.
Dia memberitahu pernah memandu cybertruck meredah air beberapa kali termasuk Lautan Atlantik sebelum ini, namun tidak pernah berdepan sebarang masalah.
“Kami ingin mengingatkan pemandu bahawa walaupun sesebuah kenderaan mungkin secara fizikal mampu memasuki kawasan air tawar yang cetek. Tindakan itu boleh menimbulkan isu undang-undang dan keselamatan di bawah undang-undang Texas,” kata polis Grapevine.
Sebelum ini, Tesla pernah memberi amaran bahawa tanggungjawab menilai kedalaman air.
“Memandu secara berhati-hati dan selamat. Jika air terlalu dalam, kembali ke kawasan yang lebih cetek atau ke daratan kering,” kata syarikat kenderaan elektrik milik Elon Musk itu menerusi laman webnya.
Selain risiko terhadap pemandu dan penumpang ketika melalui kawasan berair, Tesla turut memberi amaran bahawa kerosakan pada Cybertruck akibat pemanduan dalam air tidak dilindungi oleh waranti. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

