Perlu ada kesedaran tentang hubungan toksik

 Ramai memilih memendam perasaan, menelan kemarahan dan menyimpan dendam sehingga akhirnya meledak dalam bentuk keganasan. Foto hiasan
Ramai memilih memendam perasaan, menelan kemarahan dan menyimpan dendam sehingga akhirnya meledak dalam bentuk keganasan. Foto hiasan
A
A
A

DULU, orang tua-tua sering berpesan berhati-hati dengan orang asing. Hari ini, realitinya jauh lebih membimbangkan apabila individu dikenali sendiri pun belum tentu selamat.

Tragedi hitam membabitkan penuntut kolej wanita, Nurfisya Zulkifly, 19, yang maut selepas ditikam 61 kali dipercayai dilakukan individu baharu dikenali menggemparkan komuniti.

Belum reda kes itu, terbaharu seorang wanita cedera selepas ditikam pada bahagian leher ketika berada di dalam kereta di Titi Gajah, Kepala Batas, Alor Setar. Lebih mengejutkan, suspek lelaki itu ialah individu yang dikenali dan kedua-duanya dikatakan bekerja dalam bidang sama sebagai ejen hartanah.

Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, polis percaya unsur cemburu motif awal wanita itu ditikam, namun siasatan masih dijalankan. Dua kes berbeza, tetapi mempunyai persamaan yang cukup menggerunkan.

Mangsa diserang oleh individu yang pernah diberi ruang untuk mendekati kehidupan mereka. Persoalannya, apakah sebenarnya yang sedang berlaku dalam masyarakat hari ini?

Pakar kriminologi dan Pensyarah Kanan Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya, Dr Haezreena Begum Abdul Hamid, menerusi artikel disiarkan media tempatan berpandangan kes keganasan terhadap wanita tidak lagi boleh dianggap sekadar konflik peribadi atau pertelingkahan biasa.

Menurutnya, tindakan seperti tikaman berulang kali dan perlakuan ganas melampau mencerminkan unsur kemarahan, obses, dominasi serta keinginan menghukum mangsa. Dalam banyak kes, pelaku juga bukan orang asing, sebaliknya individu yang mempunyai hubungan rapat dengan mangsa seperti pasangan, bekas pasangan, tunang atau kenalan.

Kebanyakan tragedi hadir bersama tanda amaran lebih awal antaranya sikap terlalu mengongkong, cemburu melampau, ugutan, kawalan pergerakan dan penderaan emosi yang sering dianggap perkara biasa dalam sesuatu hubungan.

Masyarakat juga kadangkala terlalu mudah menormalisasikan sikap toksik atas nama cinta. Masih ada yang menganggap pasangan yang kuat cemburu sebagai tanda sayang, sedangkan sikap mengawal secara berlebihan sebenarnya boleh menjadi permulaan kepada keganasan yang lebih serius.

Artikel Berkaitan:

Media sosial kini turut memburukkan konflik hubungan apabila budaya membuka aib pasangan dan menyindir secara terbuka dijadikan bahan tontonan umum. Dalam keadaan emosi tidak stabil, rasa marah, malu dan dendam boleh mendorong seseorang bertindak di luar batas kemanusiaan.

Masyarakat hari ini juga semakin gagal mengawal emosi apabila perselisihan kecil mudah bertukar menjadi pergaduhan besar. Lebih membimbangkan, ada individu sanggup membawa senjata tajam ketika bertemu pasangan atau kenalan.

Hakikatnya, tindakan membawa senjata bukan lagi sekadar isu panas baran, tetapi petunjuk wujud kecenderungan agresif dipendam dalam diri.

Dalam dunia yang semakin tertekan dengan masalah ekonomi, konflik hubungan dan tekanan hidup, masyarakat sebenarnya sedang berhadapan krisis emosi yang semakin serius.

Malangnya, isu kesihatan mental masih kurang diberikan perhatian. Ramai memilih memendam perasaan, menelan kemarahan dan menyimpan dendam sehingga akhirnya meledak dalam bentuk keganasan.

Sebab itu, pendidikan pengurusan emosi dan kesedaran tentang hubungan toksik perlu diperkasakan sejak awal. Jangan tunggu tragedi berlaku baru mahu mengambil serius tanda-tanda amaran.

*Nurulfatiha Muah ialah pencipta kandungan Sinar Harian

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!