[VIDEO] Anak istimewa juga berhak belajar al-Quran

A
A
A

KOTA BHARU – Anak-anak istimewa atau orang kurang upaya (OKU) juga berhak mempelajari al-Quran mengikut kemampuan masing-masing walaupun berdepan pelbagai kekangan pembelajaran serta komunikasi.

Pengarah dan Mentor Bizara, Wan Zakaria Wan Abu Bakar berkata, usaha tersebut selari dengan penghayatan Arafah #QuranHour 2026 yang menekankan pembinaan jiwa, kasih sayang dan nilai ihsan dalam masyarakat.

“Anak-anak syurga ini sukar memahami inti pati al-Quran seperti kanak-kanak normal, sebab itu kami amalkan belajar Quran mengikut kemampuan masing-masing.

“Ada yang baru mengenal alif ba ta, ada yang sudah boleh membaca muqaddam dan ada juga yang mampu membaca al-Quran,” katanya ketika ditemui di Bizara International di sini sempena kempen Arafah #QuranHour yang dijadual berlansung pada 26 Mei ini.

Turut hadir, Pengerusi Persatuan Rumah Ngaji Negeri Kelantan (PRNNK), Datuk Adnan Hashim.

Wan Zakaria berkata, kesedaran itu juga mendorong pihaknya menganjurkan program julung kali dikenali sebagai Bizara Celik Al-Quran bagi memberi pendedahan kepada anak-anak istimewa tentang penghayatan al-Quran.

“Program yang akan diadakan pada 3 Julai depan itu bakal menghimpunkan ibu bapa bersama anak-anak dalam satu dewan besar bagi membolehkan mereka belajar al-Quran secara bersama.

“Program ini akan membantu anak-anak istimewa mendekati al-Quran, malah mengeratkan hubungan emosi antara ibu bapa dan anak,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Wan Zakaria (dua dari kiri) yang turut mengiringi Adnan (tiga dari kanan) yang menandatangani plak kunjungan PRNNK ke Bizara.
Wan Zakaria (dua dari kiri) yang turut mengiringi Adnan (tiga dari kanan) yang menandatangani plak kunjungan PRNNK ke Bizara.

Menurut beliau, Bizara yang kini mempunyai 84 pelajar pelbagai kategori seperti autisme, sindrom down, Gangguan Kurang Daya Tumpuan dan Hiperaktif dan Kelewatan Perkembangan Global berusia antara tiga hingga 19 tahun sentiasa menitikberatkan aspek kerohanian dalam pendidikan.

“Pendidikan agama Islam adalah subjek wajib di sini kerana majoriti anak-anak kami beragama Islam.

“Tetapi pendekatan kepada anak istimewa ini berbeza iaitu peringkat awal, kami perlu perbaiki emosi, tingkah laku dan pengurusan diri mereka dahulu sebelum masuk kepada pembelajaran,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya tidak menekankan hafazan semata-mata sebaliknya mahu anak-anak memahami maksud dan penghayatan di sebalik bacaan al-Quran.

“Saya tak mahu mereka hanya membaca tanpa faham, walaupun lambat, saya mahu mereka memahami ayat yang dibaca dan belajar secara holistik.

“Kalau mereka boleh ikut alunan bacaan pun sudah cukup baik kerana setiap anak istimewa mempunyai kemampuan berbeza,” katanya.

Wan Zakaria berkata, pendekatan pengajaran di Bizara banyak menggunakan bantuan audio dan visual termasuk video interaktif bagi membantu pelajar lebih fokus dan mudah memahami pembelajaran.

Katanya, anak-anak istimewa biasanya sukar memberi tumpuan dalam tempoh lama dan memerlukan teknik pembelajaran lebih fleksibel serta penuh kesabaran.

Dalam pada itu, beliau berkata, kasih sayang memainkan peranan besar dalam membentuk perkembangan emosi dan tingkah laku anak-anak istimewa.

“Saya lihat anak-anak istimewa ini sebenarnya sangat dahagakan kasih sayang dan perhatian.

“Apabila mereka rasa disayangi, mereka lebih mudah mendengar arahan dan menerima pembelajaran,” katanya.

Beliau berkata, penubuhan Bizara hampir 10 tahun lalu bermula daripada permintaan seorang ibu yang mencari tempat pendidikan sesuai untuk anak istimewanya sebelum beliau mengambil keputusan menubuhkan pusat tersebut dengan modal awal RM700.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!