JPJ kesan lori guna pelekat khas

Muhammad Kifli (kiri) menunjukkan pelekat khas yang didapati di sebuah lori.
Muhammad Kifli (kiri) menunjukkan pelekat khas yang didapati di sebuah lori.
A
A
A

GOMBAK – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengesan terdapat pengusaha lori menggunakan pelekat khas yang dipercayai bertujuan melindungi kenderaan mereka daripada dikesan pihak penguat kuasa dalam operasi dijalankan di Lembah Klang pada Rabu.

Pengarah Kanan Penguat Kuasa JPJ, Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, syarikat lori dipercayai membayar individu atau kumpulan ‘tonto’ bagi memaklumkan kedudukan serta pergerakan pasukan penguat kuasa JPJ kepada pemandu lori yang terlibat.

“Kumpulan terbabit akan mengekori pasukan JPJ sebaik sahaja penguat kuasa keluar menjalankan operasi sebelum menyalurkan maklumat lokasi semasa kepada lori-lori yang mempunyai pelekat atau stiker tertentu,” katanya dalam sidang akhbar di Stesen Penguat Kuasa Gombak di sini pada Rabu.

Muhammad Kifli berkata, kumpulan ‘tonto’ itu menggunakan alat komunikasi bagi memaklumkan keberadaan pasukan penguat kuasa dan lori-lori terbabit akan ‘lay low’ sementara sehingga operasi tamat sebelum meneruskan perjalanan.

“Lori-lori ini juga dikesan menggunakan jalan tikus bagi mengelak daripada dikesan dan dikenakan tindakan penguatkuasaan,” katanya.

Beliau berkata, JPJ memberi amaran keras kepada pengusaha lori supaya tidak menggaji atau mengupah ‘tonto’ bagi melindungi lori berkenaan.

“Maklumat berkaitan kegiatan tersebut akan disalurkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi tindakan lanjut termasuk kemungkinan menjalankan operasi bersama,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Muhammad Kifli berkata, JPJ akan terus melaksanakan operasi khas kenderaan perdagangan di seluruh negara bagi membanteras kesalahan lebih muatan, pelanggaran syarat permit dan ketidakpatuhan teknikal.

“Berdasarkan statistik penguatkuasaan dari 2024 hingga April 2026, sebanyak 2,580,954 kenderaan perdagangan telah diperiksa di seluruh negara.

Artikel Berkaitan:

“Daripada jumlah itu, sebanyak 415,846 kenderaan telah diambil tindakan atas pelbagai kesalahan di bawah peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya.

Beliau berkata, statistik saman menunjukkan sebanyak 45,986 notis dikeluarkan pada tahun 2024 sebelum meningkat kepada 57,174 notis pada 2025.

“Bagi tempoh Januari hingga April tahun ini pula, sebanyak 14,885 notis telah dikeluarkan atas kesalahan sama,” katanya.

Menurutnya, selain saman, JPJ turut melaksanakan sitaan terhadap 753 lori yang melanggar syarat permit dan peruntukan undang-undang di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.

“Pulau Pinang merekodkan jumlah sitaan tertinggi dengan 133 sitaan, diikuti Selangor sebanyak 125 sitaan dan Pahang sebanyak 101 sitaan,” katanya.

Beliau turut mendedahkan bahawa sepanjang tempoh 2024 hingga 2026, JPJ berjaya melaksanakan proses pelucutan hak terhadap 30 lori yang membawa muatan melebihi had dibenarkan.

“Mana-mana lori yang membawa muatan melebihi 50 peratus daripada Berat Dengan Muatan (BDM) yang dibenarkan akan disita sebelum tindakan pelucutan hak dilakukan melalui perintah mahkamah.

“Setakat ini hampir 85 kertas siasatan telah siap dan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk mendapatkan izin mendakwa sebelum didaftarkan di mahkamah,” katanya.

Beliau berkata, antara alasan yang sering diberikan pengusaha lori yang melakukan kesalahan ialah mahu mengejar trip, keuntungan dan menampung kos operasi.

“Alasan itu sudah lapuk dan tidak lagi sesuai digunakan ketika ini,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kesalahan paling banyak dikesan melibatkan lori membawa bahan batuan selain pelbagai kesalahan teknikal termasuk tidak memiliki lesen memandu dan Lesen Kenderaan Barang (GDL).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!