Beban senyap guru milenial

Guru milenial mempunyai potensi besar memacu transformasi pendidikan negara kerana mereka lebih mudah menyesuaikan diri dengan teknologi dan pendekatan pembelajaran baharu - Gambar hiasan
Guru milenial mempunyai potensi besar memacu transformasi pendidikan negara kerana mereka lebih mudah menyesuaikan diri dengan teknologi dan pendekatan pembelajaran baharu - Gambar hiasan
A
A
A

TIDAK terlambat untuk penulis mengucapkan Selamat Hari Guru kepada semua yang bergelar pendidik. Setiap 16 Mei, Hari Guru disambut bagi menghargai sumbangan dan jasa cikgu yang tidak pernah lelah mendidik anak bangsa untuk menjadi insan hebat pada masa depan.

Profesion perguruan kini berdepan perubahan besar seiring perkembangan teknologi dan tuntutan pendidikan abad ke-21. Dalam landskap ini, guru milenial muncul sebagai generasi pendidik yang lebih kreatif, celik digital dan terbuka kepada pendekatan pembelajaran moden. Namun di sebalik kelebihan tersebut, mereka turut berhadapan pelbagai cabaran yang semakin kompleks.

Guru milenial bukan sahaja perlu memastikan prestasi akademik murid terus cemerlang, malah perlu menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi, tekanan masyarakat serta lambakan tugasan bukan pengajaran.

Tugas guru kini tidak lagi tertumpu kepada pengajaran semata-mata. Mereka perlu mengurus laporan, sistem data, aktiviti kokurikulum, komunikasi dengan ibu bapa dan pelbagai dokumentasi lain.

Cabaran itu menjadi lebih sukar apabila guru milenial perlu mendidik generasi pelajar yang sangat bergantung kepada teknologi digital dan mempunyai tempoh fokus lebih pendek. Kaedah pengajaran tradisional semakin kurang berkesan, menyebabkan guru perlu sentiasa kreatif menghasilkan kandungan pembelajaran yang interaktif dan relevan.

Pada masa sama, media sosial turut memberi tekanan baharu kepada profesion perguruan. Segala tindakan guru mudah dirakam dan tular sehingga ada pendidik menjadi terlalu berhati-hati dalam mengambil tindakan disiplin terhadap pelajar.

Menyedari cabaran tersebut, kerajaan menerusi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengumumkan 12 inisiatif khusus sempena Sambutan Hari Guru 2026 bagi memperkasakan warga pendidik. Antaranya termasuk kursus pensijilan Google Certified Educator (GCE) Tahap Satu dan Dua secara percuma kepada semua guru bagi meningkatkan literasi digital pendidik.

Antara inisiatif yang mendapat perhatian ialah pemansuhan sistem perekodan kokurikulum secara manual bagi mengurangkan beban tugas guru.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata, langkah memansuhkan perekodan manual itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan KPM memperkasa profesion keguruan dan meningkatkan kecekapan pengurusan sekolah.

Artikel Berkaitan:

Malah sekolah juga diberikan autonomi mengurus rekod kokurikulum sebelum data dimasukkan ke dalam sistem Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK).

Kerajaan turut menyediakan peruntukan RM169 juta untuk pembekalan peranti digital kepada sekolah, sekali gus membantu guru mengaplikasikan teknologi secara lebih efektif dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

Harapan

Langkah tersebut menunjukkan kerajaan mula memberi perhatian serius terhadap isu kesejahteraan guru dan keperluan pendidikan masa depan. Namun persoalan lebih besar ialah sejauh mana pelaksanaan inisiatif itu benar-benar mampu mengurangkan tekanan kerja guru di peringkat akar umbi.

Hakikatnya, guru milenial mempunyai potensi besar memacu transformasi pendidikan negara kerana mereka lebih mudah menyesuaikan diri dengan teknologi dan pendekatan pembelajaran baharu. Namun tanpa sokongan sistem yang lebih baik, tekanan berterusan boleh menyebabkan profesion perguruan semakin kurang diminati generasi muda.

Profesion guru tidak boleh terus dibebankan dengan pelbagai tugas sampingan sehingga mengganggu fokus utama mereka sebagai pendidik. Masa depan pendidikan negara bergantung kepada sejauh mana guru dihargai, dibela dan diberikan ruang untuk menjalankan tugas hakiki mereka dengan lebih bermakna.

* Farah Nabila Mohamed Saris ialah Sub Editor Sinar Harian

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!