Peniaga manipulasi harga, tipu alat timbangan

KPDN melaksanakan Op Embun 2.0 di Pasar Borong Kuala Lumpur pada Sabtu.
KPDN melaksanakan Op Embun 2.0 di Pasar Borong Kuala Lumpur pada Sabtu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Peniaga memberi alasan terlupa perbaharui perakuan alat timbang selain segelintir manipulasi harga dengan 'bermain' berat timbangan antara yang dikesan di Pasar Borong Kuala Lumpur di sini pada Sabtu.

Perkara itu dikesan menerusi Op Embun 2.0 yang dijalankan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kuala Lumpur bermula jam 1 pagi melibatkan kekuatan 50 orang pegawai serta anggota.

Pengarah KPDN Kuala Lumpur, Mohd Sabri Seman berkata, sebanyak 382 pemeriksaan telah dilaksanakan.

Menurutnya, hasilnya, KPDN Kuala Lumpur merekodkan 18 kes iaitu 16 kes di bawah Akta Timbang dan Sukat 1972, manakala dua kes di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dengan kompaun keseluruhan sebanyak RM5,600.

"Peniaga yang degil ini sering melakukan manipulasi harga bila tidak sahkan alat timbang dan sukat.

"Ada yang dipercayai meletakkan harga murah daripada pesaing, namun sebenarnya bila timbang, barang jadi lebih berat daripada yang sepatutnya," katanya kepada pemberita selepas meninjau Op Embun 2.0 di sini pada Sabtu.

Kata beliau, Op Embun 2.0 dijalankan bagi memastikan semua peniaga di Pasar borong Kuala Lumpur masih menggunakan alat timbang dan sukat yang telah ditentusah dan mematuhi segala perundangan dan peraturan yang dikuatkuasakan KPDN serta pematuhan terhadap akta-akta berkaitan perdagangan dalam negeri.

Mohd Sabri
Mohd Sabri

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, mana-mana peniaga dilarang menggunakan alat timbang dan sukat yang telah rosak, tidak tepat atau tidak ditentusahkan untuk tujuan perdagangan.

Jelasnya, sebarang manipulasi timbangan atau penggunaan alat timbang yang telah tamat tempoh sah boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Timbang dan Sukat 1972.

Dalam pada itu, kata Mohd Sabri, operasi ini turut memberi fokus kepada pemantauan bekalan dan harga barangan di peringkat pasar borong.

"Ini bagi memastikan bekalan dan harga pasaran sentiasa stabil, terkawal serta tidak berlaku sebarang aktiviti pencatutan atau manipulasi yang boleh menjejaskan pengguna dan peniaga lain," ujarnya.

Tegasnya, KPDN akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan dan pemeriksaan secara berterusan dari semasa ke semasa bagi memastikan pematuhan undang-undang oleh komuniti peniaga serta melindungi kepentingan pengguna.

"Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar peraturan di bawah perundangan yang dikuatkuasakan oleh KPDN," ujarnya.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!