Bekalan diesel terhad ancam pengeluaran padi di Sekinchan

Pengendali jentera mendakwa permohonan permit diesel semakin sukar apabila pelbagai syarat dikenakan termasuk dokumen tambahan yang membebankan pengusaha kecil.
Pengendali jentera mendakwa permohonan permit diesel semakin sukar apabila pelbagai syarat dikenakan termasuk dokumen tambahan yang membebankan pengusaha kecil.
A
A
A

SABAK BERNAM - Kira-kira 6,000 hektar sawah di sekitar kawasan Sekinchan, Sungai Leman, Sungai Nipah dan Pasir Panjang di sini berisiko terjejas berikutan kesukaran pemilik jentera padi mendapatkan bekalan diesel sekali gus menjejaskan anggaran pengeluaran padi sehingga 420,000 tan metrik semusim.

Isu itu membabitkan kira-kira 2,900 pesawah di kawasan terbabit yang berdepan kesukaran menuai padi akibat kekangan bekalan bahan api.

Pemilik jentera padi, Murshid Ahmad, 51, mendakwa, kuota diesel sebanyak 20 liter sehari yang dibenarkan pihak berkuasa tidak mencukupi kerana operasi menuai memerlukan penggunaan bahan api jauh lebih tinggi.

Menurutnya, jentera penuai padi memerlukan kira-kira 200 liter diesel sehari bagi menampung kerja di kawasan sawah yang luas, namun bekalan sedia ada hanya mampu bertahan seketika.

"20 liter sehari untuk sebuah jentera memotong padi memang tak cukup, sebaliknya kami memerlukan 200 liter seperti sebelumnya," katanya ketika ditemui pada Khamis.

Pengendali jentera padi dan pesawah merungut berikutan hanya dibenarkan membeli 20 liter diesel sehari sahaja.
Pengendali jentera padi dan pesawah merungut berikutan hanya dibenarkan membeli 20 liter diesel sehari sahaja.

Seorang lagi pengusaha, Mohd Ridzuan Arbi, 38, berkata, keadaan menjadi lebih sukar apabila ada pemeriksaan dan tindakan penguatkuasaan ketika pembelian diesel dilakukan di stesen minyak.

"Pengendali jentera padi bimbang kena tangkap oleh pihak berkuasa, malah stesen minyak pun takut hendak jual diesel dalam kuantiti banyak," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Mohd Ridzuan mendakwa, permohonan permit diesel semakin sukar apabila pelbagai syarat dikenakan termasuk dokumen tambahan yang membebankan pengusaha kecil.

Katanya, keadaan itu menjejaskan kelancaran musim menuai yang sepatutnya perlu diselesaikan dalam tempoh kira-kira sebulan bagi mengelakkan padi rosak dan menjejaskan kualiti hasil.

"Kalau lewat menuai padi boleh gugur, berat berkurang, selain hasil pun boleh jatuh separuh,” jelasnya.

tambah beliau, sebuah jentera yang beroperasi di kawasan kira-kira 8.4 hektar sehari memerlukan kos diesel sehingga ratusan ringgit bergantung kepada harga semasa tanpa subsidi.

Pesawah bimbang sekiranya padi tidak dituai mengakibatkannya rosak dan menjejaskan kualiti hasil.
Pesawah bimbang sekiranya padi tidak dituai mengakibatkannya rosak dan menjejaskan kualiti hasil.

Sementara itu, seorang pesawah, Sulbani Abd Karim, 60, berkata, isu sekatan pembelian diesel hanya 20 liter sehari kepada pengusaha jentera padi membebankan pesawah hingga menyebabkan kerja menuai terpaksa tertangguh sekali gus menjejaskan hasil dan pendapatan.

Menurutnya, keadaan itu bukan sahaja menyukarkan pengusaha jentera, malah turut memberi kesan terus kepada pesawah yang mengupah mereka kerana padi yang sudah matang tidak dapat dituai mengikut jadual.

Katanya, terdapat lebih 40 pengusaha jentera di kawasan itu yang bergantung sepenuhnya kepada diesel bagi mengendalikan mesin penuaian, namun kuota 20 liter sehari langsung tidak mencukupi.

Sementara itu, Roslan Badron, 58, yang mengusahakan 18 hektar sawah terpaksa bergantung sepenuhnya kepada kemampuan pemilik jentera mendapatkan diesel.

Katanya, dia amat berharap memperoleh hasil padi yang memberangsangkan tahun ini berbanding musim lalu iaitu sekitar lima tan sehektar susulan serangan serangga perosak.

"Sepatutnya isu ini tidak timbul kerana ia melibatkan keterjaminan makanan. Perkara-perkara sebegini boleh menyebabkan generasi muda tidak mahu terlibat dalam aktiviti sawah padi.

"Setiap musim pasti ada kesulitan dihadapi termasuk peratusan harga pemutuan, bekalan air dan sebagainya," tambahnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!