Dua lelaki maut dipanah petir

Dua lelaki maut di panah petir ketika berada di sebuah bangsal di hadapan sebuah rumah di Kampung Hujung Becah, Sik di sini petang tadi.
Dua lelaki maut di panah petir ketika berada di sebuah bangsal di hadapan sebuah rumah di Kampung Hujung Becah, Sik di sini petang tadi.
A
A
A

ALOR SETAR - Dua lelaki maut dipercayai akibat dipanah petir ketika berada di sebuah bangsal di hadapan sebuah rumah di Kampung Hujung Becah, Sik di sini petang tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Sik, Leftenan (PA) Haisul Aishah Mohd Napiah berkata, mangsa dikenali sebagai Mohd Zulkefli Kasim, 43, dan Idrus Ahmad, 35, meninggal dunia di tempat kejadian.

Menurutnya, kejadian itu berlaku semasa hujan lebat dan ribut petir kira-kira jam 5.30 petang.

"Ketika kejadian, kedua-dua mangsa berada di sebuah bangsal rehat sebelum dipanah petir dan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sik untuk bedah siasat dan siasatan lanjut masih dijalankan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kejadian ribut petir di daerah berkenaan berlaku antara jam 5.30 hingga jam 6.15 petang namun tiada pusat pemindahan dibuka buat masa ini.

Katanya, Angkatan Pertahanan Awam (APM) Sik turut menerima panggilan daripada penduduk memaklumkan kejadian pokok tumbang di Kampung Tanjung Sik, Kampung Sena dan Beris Jaya Sik.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sik, Deputi Superintendan Abdul Razak Osman ketika dihubungi pemberita mengesahkan kejadian yang meragut dua nyawa petang tadi.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Penolong Pengarah Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba 1 Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, setakat ini, pihaknya menerima laporan beberapa kenderaan rosak dihempap garaj kenderaan di Hospital Sik akibat dipukul ribut namun tidak melibatkan mangsa.

Katanya, anggota bertindak mengalihkan bumbung yang diterbangkan angin ke lokasi yang selamat.