RM271,631 untuk rakyat Gaza

SHAH ALAM - Kempen tanggungjawab sosial korporat (CSR) #SinarUntukGaza anjuran Jasmine Food berjaya mengumpul dana kemanusiaan sebanyak RM271,631 bagi menyalurkan bantuan kepada rakyat Gaza, Palestin yang terjejas akibat konflik berterusan.
Ketua Pegawai Operasi Jasmine Food Corporation Sdn Bhd, Alan Kwong berkata, kejayaan kempen itu mencerminkan keprihatinan masyarakat di negara ini terhadap isu kemanusiaan di peringkat antarabangsa.
Menurut beliau, sumbangan yang dikumpulkan hasil penyertaan orang ramai melalui pembelian harian menunjukkan peranan sektor perniagaan dalam menyokong usaha bantuan kemanusiaan secara berterusan.
"Kempen yang dilaksanakan sejak awal tahun ini mendapat sokongan daripada pengguna, rakan niaga serta peruncit di seluruh negara melalui penyertaan dalam pembelian produk terpilih.
"Sebagai simbol kejayaan fasa awal kempen, satu majlis penyerahan sumbangan diadakan melibatkan penyaluran dana kepada MERCY Malaysia dan rakan kerjasama strategik, Cinta Gaza Malaysia (CGM). Ini bagi menyokong usaha bantuan kemanusiaan termasuk penyediaan keperluan asas, bantuan perubatan serta pemulihan komuniti di Gaza.
“Sokongan amat menggalakkan dan kami menghargai peranan semua pihak yang terlibat dalam merealisasikan inisiatif ini,” katanya.
Alan memaklumkan, Jasmine Food akan meneruskan kempen sehingga Jun dengan tumpuan diperluaskan ke Kelantan dan Terengganu bagi membolehkan lebih ramai pengguna mengambil bahagian.
Tambahnya, lanjutan kempen tersebut bertujuan mengekalkan kesedaran awam terhadap situasi kemanusiaan di Gaza di samping meneruskan sumbangan kepada organisasi bantuan terlibat.
"Kempen ini dijalankan menerusi pembelian Beras Era Cap Sinar Timur dengan sebahagian hasil jualan disalurkan kepada tabung bantuan kemanusiaan Gaza.
"Ia selaras dengan komitmen syarikat dalam melaksanakan CSR serta menyumbang kepada masyarakat melalui kerjasama dengan organisasi kemanusiaan," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
