Usahawan PMKS perlu bimbingan, latihan intensif depani krisis kenaikan kos- DPIM

SHAH ALAM – Usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) perlu diberikan bimbingan serta latihan berterusan secara intensif bagi mendepani situasi kenaikan harga barang akibat konflik geopolitik ketika ini.
Naib Presiden Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM), Datuk Dr Ramli Tahir berkata, perkara itu berlaku kerana kebanyakan usahawan berdepan kekangan dari segi kemahiran pengurusan kos, sekali gus berisiko mengalami kerugian hingga terpaksa ‘gulung tikar’.
Beliau menjangkakan kesan sebenar krisis berkenaan hanya akan dirasai dalam tempoh enam bulan akan datang, meskipun ketika ini keadaan masih dilihat terkawal.
“Hakikatnya, kita berada dalam keadaan tenat. Jika usahawan PMKS tidak beradaptasi dan mengikuti perkembangan semasa, maka suatu hari mereka akan terjejas.
“Usahawan ini berada di tengah-tengah antara dasar kerajaan dan pengguna. Masalah utama mereka ialah tidak tahu membuat kira-kira, khususnya melibatkan kenaikan kos barang.
“Apabila tidak memahami pengiraan kos, mereka akhirnya menanggung kerugian. Ada juga yang bimbang untuk menaikkan harga kerana takut pelanggan tidak membeli,” katanya dalam forum meja bulat bertajuk Krisis Tenaga dan Kelestarian Subsidi: Apa Nasib Rakyat Marhaen yang berlangsung di sini pada Khamis.
Forum yang dikendalikan oleh hos merangkap personaliti televisyen, Ismail Adnan itu turut menampilkan barisan panel terdiri daripada Profesor Adjung Pusat Pengajian Siswazah Perniagaan (GSB) UKM, Ir Dr Mohd Shahreen Zainoreen Madros dan Presiden Persatuan Pengguna Kedah (CAKE), Mohd Yusrizal Yusoff.
Sebelum ini, krisis tenaga global yang berlarutan susulan konflik di Asia Barat telah memberi tekanan kepada kos bahan api dan rantaian bekalan di seluruh dunia.
Penerusan subsidi bahan api melalui BUDI95 dan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) menelan kos tinggi sehingga RM6 bilion sebulan berbanding RM700 juta sebulan sebelum perang.
Ujar Ramli, meskipun terdapat segelintir peniaga menaikkan harga secara tidak munasabah, namun majoriti usahawan PMKS masih terlalu berhati-hati sehingga tidak membuat pelarasan harga yang sepatutnya.
“Corak tingkah laku pengguna pula berbeza mengikut lokasi. Hal ini menuntut usahawan untuk sentiasa peka terhadap perubahan semasa, namun ia menjadi satu cabaran besar kepada mereka.
“Apa yang diperlukan ialah satu sistem bimbingan yang mampu memberi gambaran jelas kepada usahawan tentang keadaan semasa, terutama berkaitan peningkatan kos,” ujarnya.
Mengulas mengenai bantuan subsidi, Ramli berkata, inisiatif tersebut perlu dilaksanakan secara lebih bersasar dan tertumpu kepada golongan yang benar-benar memerlukan.
“Golongan berpendapatan tinggi, T20, secara umumnya mampu menampung kenaikan kos, tetapi golongan B40 tidak mempunyai keupayaan yang sama.
“Justeru, keutamaan wajar diberikan kepada B40. Malah, golongan T20 juga boleh memainkan peranan dengan tidak mengambil subsidi agar manfaat itu dapat disalurkan kepada yang lebih memerlukan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

