Penternak lembu ditembak stabil, terima rawatan di ICU

Penternak lembu yang ditembak di bahagian dagu kini berada dalam keadaan stabil namun masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tanah Merah pada Selasa.
Penternak lembu yang ditembak di bahagian dagu kini berada dalam keadaan stabil namun masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tanah Merah pada Selasa.
A
A
A

TANAH MERAH - Penternak lembu yang ditembak di bahagian dagu kini berada dalam keadaan stabil namun masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tanah Merah di sini pada Selasa.

Mangsa, Mohd Khairul Amri Ab Kadir, 43, yang berasal dari Felda Kemahang 1 di sini merupakan anak sulung daripada 13 beradik dan masih bujang.

Adiknya, Mohd Amirul Akil, 38, berkata kejadian yang menimpa abangnya itu sangat mengejutkan mereka sekeluarga.

"Kami berharap dan berdoa dia cepat sembuh dan segera pulang ke rumah," katanya ketika ditemui di rumah mereka di Felda Kemahang 1 di sini pada Selasa.

Menurut anak kelima itu, Mohd Khairul Amri memiliki lebih 40 ekor lembu dan pernah beberapa kali kehilangan ternakannya sebelum ini.

Ujarnya, di kawasan terbabit pernah berlaku beberapa kejadian kecurian lembu dan disebabkan itu abangnya serta rakan-rakan sentiasa membuat rondaan di kawasan ladang berkenaan.

"Kami pun tidak sangka sampai jadi begini. Diharap perkara ini akan mendapat perhatian pihak berkuasa," katanya.

Sebelum itu, Sinar Harian pada Isnin melaporkan polis sedang memburu lima lelaki yang dipercayai terlibat dalam kejadian melepaskan tembakan terhadap seorang penternak lembu di Ladang Kemahang di sini awal pagi Isnin.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 pagi itu, mangsa, Mohd Khairul Amri, cedera selepas terkena tembakan di bahagian dagu ketika melakukan rondaan bersama rakannya bagi mengesan kegiatan curi lembu.

Artikel Berkaitan:

Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Superintenden Mohd Haki Hasbullah berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian tersebut pada jam 5.26 pagi.

Menurut beliau, sebelum kejadian, pengadu yang merupakan jurujual berusia 35 tahun bersama rakannya menjalankan rondaan di kawasan ladang berkenaan sejak jam 1.30 pagi.

"Mereka kemudian terserempak dengan sekumpulan kira-kira lima lelaki dipercayai terdiri daripada warga tempatan dan Thailand.

"Suspek dipercayai melepaskan beberapa das tembakan dari jarak dekat ke arah pengadu dan rakannya," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau memberitahu kedua-dua mangsa bertindak melarikan diri bagi menyelamatkan diri sejurus kejadian berlaku.

Menurutnya, seorang daripada mereka, iaitu Mohd Khairul Amri, bagaimanapun terkena tembakan di bahagian dagu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!