JKN arah pelajar madrasah di Jasin kuarantin

Rahmad Mariman
Rahmad Mariman
A
A
A

JASIN - Kira -kira 125 pelajar sebuah madrasah di Ayer Merbau, di sini diarahkan kuarantin secara berpusat setelah mencatatkan peningkatan kes positif koronavirus (Covid-19) di madrasah terbabit.

Exco Kesihatan dan Anti Dadah Melaka, Rahmad Mariman berkata, arahan itu dikeluarkan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) dan semua pelajar yang telah pulang di kediaman masing-masing sebelum ini diminta untuk pulang semula ke madrasah sebelum dihantar ke Pusat Kecemerlangan Kejuruteraan dan Teknologi Jabatan Kerja Raya (CREaTE) di Alor Gajah untuk dikuarantin.

Menurutnya, kesemua pelajar tahfiz berusia 13 hingga 21 tahun serta tenaga pengajar dan staf sokongan telah pun menjalani saringan bermula pada Rabu minggu lalu.

"Apa yang dilakukan ini sebagai usaha untuk mengekang transmisi penyebaran pandemik Covid-19 memandangkan sehingga kini terdapat 20 pelajar dan tenaga pengajar telah disahkan positif dipercayai mempunyai kaitan dengan kes indeks kluster tabligh Masjid Sri Petaling," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Rahmad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Molek berkata, ibu bapa dan penjaga kepada semua pelajar tahfiz berkenaan telah pun dimaklumkan untuk menghantar semula anak mereka ke madrasah berkenaan selewat-lewatnya jam 1 petang esok sebelum dikuarantin.

Jelasnya, keluarga dan juga kontak rapat pelajar-pelajar terbabit juga telah dimaklumkan lebih awal supaya mereka turut melakukan saringan.

Artikel Berkaitan: