Godzilla El Nino ancam bekalan makanan global

Fenomena El Nino luar biasa dijangka memburukkan krisis makanan global dengan lonjakan harga komoditi akibat cuaca ekstrem dan tekanan konflik dunia. Foto Agensi
Fenomena El Nino luar biasa dijangka memburukkan krisis makanan global dengan lonjakan harga komoditi akibat cuaca ekstrem dan tekanan konflik dunia. Foto Agensi
A
A
A

FENOMENA El Nino luar biasa pada tahun ini dijangka memburukkan lagi krisis bekalan makanan global yang sudah pun berdepan tekanan akibat konflik di Asia Barat.

Saintis iklim memberi amaran bahawa El Nino dijangka terbentuk dalam beberapa bulan akan datang dengan potensi menjadi fenomena cuaca ekstrem antara Oktober hingga Disember depan.

Model iklim Eropah pula menunjukkan kebarangkalian yang lebih tinggi untuk berlakunya El Nino yang sangat kuat atau digelar Godzilla El Nino.

Fenomena itu terjadi apabila suhu laut di kawasan tropika timur Lautan Pasifik meningkat sekurang-kurangnya 0.5 darjah Celsius melebihi purata jangka panjang.

Godzilla El Nino walaupun tidak mempunyai kategori saintifik rasmi, ia difahami sebagai fasa luar biasa kuat dalam kitaran El Nino Southern Oscillation (ENSO) iaitu apabila suhu permukaan laut di timur Lautan Pasifik meningkat sekurang-kurangnya dua darjah Celsius melebihi paras normal.

Penganalisis kanan bagi sektor makanan dan pertanian di Unit Risikan Tenaga dan Iklim, Chris Jaccarini berkata, 2026 dijangka menjadi satu lagi tahun di mana konflik dan risiko iklim terus menjadi realiti yang membebankan kos global.

“Harga makanan kini ditekan dari dua arah iaitu cuaca ekstrem yang mengganggu pengeluaran di kawasan pertanian utama dan sistem makanan global yang masih bergantung kepada bahan api fosil. Ia, sekali gus terdedah kepada lonjakan harga gas, baja, pengangkutan dan pembungkusan.

“Disebabkan itu, prospek El Nino menjadi sangat penting. Ia boleh memperhebatkan risiko cuaca dalam iklim yang sudah tidak stabil dan berpotensi memburukkan lagi inflasi yang didorong oleh harga bahan api fosil yang tinggi,” jelasnya.

Beberapa komoditi dilihat sangat terdedah kepada kesan fenomena cuaca ekstrem itu.

Artikel Berkaitan:

El Nino lazimnya mengakibatkan kenaikan harga koko, minyak makanan, beras dan gula

Selain itu, produk di negara beriklim tropika seperti pisang, teh, kopi, coklat serta daging berasaskan makanan ternakan soya turut tersenarai sebagai antara yang berisiko tinggi.

Golongan petani di seluruh dunia kini berdepan masalah krisis kekurangan baja yang dikhuatiri menjejaskan hasil tanaman. Foto Agensi
Golongan petani di seluruh dunia kini berdepan masalah krisis kekurangan baja yang dikhuatiri menjejaskan hasil tanaman. Foto Agensi

Baja ‘krisis senyap’

Cef selebriti dan aktivis kemanusiaan, Jose Andres memberi amaran kepada pemimpin di seluruh dunia supaya tidak hanya memfokuskan kepada pasaran minyak dan mula memberi lebih tumpuan kepada tanah yang menyokong pengeluaran makanan global.

Pengasas World Central Kitchen (WCK) itu percaya dunia sedang ‘leka’ tanpa sedar menuju krisis kebuluran besar-besaran yang boleh berlarutan selama beberapa tahun, berpunca daripada keruntuhan senyap perdagangan baja global akibat konflik Amerika Syarikat (AS)-Iran.

“Saya menjangkakan peningkatan besar bencana kebuluran di seluruh dunia menjelang musim luruh 2026 dan 2027,” kata Andres.

Susulan gangguan di Selat Hormuz, rantaian bekalan baja nitrogen didakwa turut terjejas. Keadaan itu menaikkan kos untuk petani dan menimbulkan kebimbangan terhadap pengeluaran makanan global.

“Bukan hanya minyak yang melalui Selat Hormuz tetapi juga baja berskala besar,” ujarnya.

Menurutnya, bahaya sebenar adalah kesan kelewatan bekalan tersebut.

Beberapa komoditi dilihat sangat terdedah kepada kesan fenomena cuaca ekstrem itu. Foto Agensi
Beberapa komoditi dilihat sangat terdedah kepada kesan fenomena cuaca ekstrem itu. Foto Agensi

Hasil tuaian boleh merosot pada kitaran seterusnya apabila baja tidak sampai tepat pada masa untuk musim penanaman penting,

Gangguan perdagangan global itu berpotensi mencetuskan kesan domino yang merentasi rantaian bekalan dan meletakkan negara-negara termiskin sebagai mangsa paling terhimpit.

Info:

>Pengurangan drastik bantuan kemanusiaan digabungkan dengan kemarau berterusan dan konflik yang berlarutan telah menyebabkan tujuh negara; Afghanistan, Haiti, Mali, Somalia, Sudan Selatan, Sudan dan Yemen berdepan krisis kebuluran serius.

>2025 merupakan kali pertama dalam abad ke-21 apabila dua kebuluran di Genting Gaza dan Sudan berlaku serentak.

>Bilangan penduduk yang berada dalam Klasifikasi Fasa Keselamatan Makanan Bersepadu (IPC Fasa 5) yang ditakrifkan sebagai keadaan bencana kini mencecah 220,000 orang, meningkat sebanyak 65 peratus sejak 2020.

>Berdasarkan data terkini 2026 Global Hunger Hotspots, seramai 295 juta penduduk di 59 negara berdepan ketidakjaminan makanan akut. Dua pertiga daripada jumlah itu tertumpu di 10 negara, iaitu lebih 196 juta orang kini berada dalam keadaan krisis, kecemasan, atau bencana kelaparan.

>Beberapa agensi di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebelum ini telah memberi amaran bahawa krisis kebuluran terus meningkat di seluruh dunia dengan hampir 318 juta penduduk kelaparan manakala organisasi kemanusiaan berdepan kesukaran untuk memberikan bantuan akibat pemotongan dana oleh negara kaya termasuk AS.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!