NSCBICC jadi jambatan diplomatik Malaysia-India

Yuneswaran Ramaraj
Yuneswaran Ramaraj
A
A
A

SHAH ALAM – Majlis kebudayaan yang dianjurkan oleh Netaji Subhas Chandra Bose Indian Cultural Centre (NSCBICC) bukan sahaja meraikan kepelbagaian tradisi sebagai teras perpaduan, malah berfungsi sebagai medium penting dalam mempererat jalinan diplomatik antara Malaysia dan India.

Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Yuneswaran Ramaraj berkata, ia merupakan satu malam yang cukup bermakna, di mana kedua-dua negara meraikan keindahan budaya, warisan dan nilai perpaduan yang menyatukan semua.

“Sekalung tahniah kepada NSCBICC atas ulang tahun ke-15. Peranan yang dimainkan dalam mempromosikan warisan budaya India serta memperkukuh hubungan antara rakyat kedua-dua negara amat signifikan dan wajar dihargai,” katanya menerusi hantaran Facebook pada Khamis.

Yuneswaran yang juga Ahli Parlimen Segamat turut mengucapkan terima kasih kepada Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia, B. N. Reddy, atas ucapan pembukaan yang penuh makna.

Menurut beliau, kepelbagaian persembahan seni yang memukau, daripada demonstrasi yoga berirama hingga tarian klasik Bharatanatyam, membuktikan budaya mampu menjadi jambatan penyatuan komuniti.

“Malaysia kuat kerana kepelbagaian. Kita bukan sekadar hidup bersama, tetapi kita berkembang bersama.

“Semoga semangat perpaduan ini terus dipupuk demi masa depan negara yang lebih harmoni dan bersatu,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!