Isu diesel: Rujuk sumber rasmi, bukan spekulasi – Pakar

Nazery
Nazery
A
A
A

SHAH ALAM - Pengesahan daripada pihak berkuasa dan syarikat berkaitan berhubung dakwaan pengeksportan lebih 52 juta liter diesel ke Filipina perlu dijadikan rujukan utama berbanding spekulasi atau tafsiran pihak-pihak yang tidak arif mengenai selok-belok rantaian bekalan industri tenaga.

Pengulas dan penganalisis maritim, Nazery Khalid berkata, meskipun kenyataan Jabatan Tenaga Filipina (DOE) mendakwa diesel tersebut ‘datang dari Malaysia’, ia tidak semestinya bermakna bahan api itu bersumberkan minyak mentah negara atau dijual oleh Petronas.

“Rantaian bekalan tenaga merangkumi jaringan yang luas, bersifat rentas sempadan serta melibatkan ramai pemain industri.

“Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) telah mengumumkan bahawa minyak tersebut bukan berasal dari Malaysia seperti yang difahami secara umum, manakala Petronas turut menafikan penglibatan dalam penghantaran berkenaan.

"Sehubungan itu, pengesahan daripada pihak berkuasa dan syarikat berkaitan perlu dijadikan rujukan utama, berbanding spekulasi atau tafsiran mereka yang tidak mendalami industri dan logistik tenaga,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Nazery turut menjelaskan bahawa setiap pergerakan kapal dan kargo direkodkan secara terperinci melalui dokumen dikenali sebagai ‘manifest’ yang disediakan oleh syarikat perkapalan berdasarkan data dan maklumat dari pengeksport dan pengimport.

Katanya, rekod pergerakan kapal dan kargo melalui pelabuhan bukan sahaja digunakan oleh pengendali terminal pelabuhan, malah turut menjadi rujukan lembaga pelabuhan, Jabatan Laut Malaysia (JLM) dan syarikat insurans dalam menjejaki pergerakan serta pemilikan sesuatu penghantaran melalui laut.

Beliau turut menekankan kebanyakan loji penapisan minyak di Malaysia dikonfigurasikan untuk memproses minyak mentah import dari Timur Tengah yang mempunyai kandungan sulfur lebih tinggi dan nilai lebih rendah berbanding minyak mentah keluaran tempatan.

“Sebaliknya, minyak mentah Malaysia yang dikenali sebagai sweet light crude mempunyai kualiti lebih tinggi dan nilai pasaran yang lebih mahal.

Artikel Berkaitan:

"Oleh itu, Malaysia mengekspot minyak ini dan mengimpot minyak dari Asia Barat yang lebih sesuai untuk kegunaan tempatan," ujarnya.

Mengulas sama ada penghantaran diesel tersebut bertujuan meraih keuntungan daripada perbezaan harga antara Malaysia dan Filipina, Nazery menyifatkan andaian itu tidak berasas.

“Semua negara pengimport minyak kini berdepan tekanan akibat krisis di Teluk, termasuk gangguan bekalan susulan penutupan Selat Hormuz.

“Dalam keadaan ini, keutamaan setiap negara adalah memastikan kelangsungan bekalan domestik.

“Maka, pada saya tidak logik sekiranya negara seperti Malaysia yang tersepit dengan situasi penutupan Selat Hormuz serta gangguan bekalan minyak dari Asia Barat berada dalam keadaan di mana kita boleh menjual diesel yang kita sendiri perlukan kepada negara lain,” kata beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!