Abu Azrael Rambo Iraq digeruni musuh

TEHERAN - Sosok yang digeruni pihak musuh di medan perang Asia Barat ini kembali menjadi perhatian selepas laporan tidak disahkan mendakwa tokoh yang digelar ‘Bapa Malaikat Maut’ itu kini berada di Teheran.
Dakwaan tersebut turut diperkuat oleh sumber pro-Iran susulan penularan video yang memaparkan Abu Azrael bersama anggota tentera bertemu penduduk tempatan.
Kehadirannya di Teheran dipercayai menjadi sebahagian daripada kerjasama strategik dengan Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) dalam merangka dan memperkukuh strategi pertahanan darat sebagai persediaan untuk menghadapi kempen pencerobohan unit infantri musuh.
Khabar angin mengenai kemunculan pemilik nama sebenar Ayoub Falih Hasan Al-Rubayie, 48, ini terus menjadi bualan hangat terutamanya selepas Amerika Syarikat (AS) berdepan kekalahan memalukan dalam konflik yang berlarutan lebih sebulan di Teheran.

Sehingga kini, belum ada pengesahan rasmi mengenai keberadaan Abu Azrael yang turut dikenali sebagai ‘Rambo Iraq’ selepas beliau pernah meraih perhatian antarabangsa atas ketangkasannya memerangi anggota kumpulan Daesh.
Namanya mula menjadi sebutan ketika Perang Iraq 2003 sewaktu beliau menganggotai Tentera Mahdi untuk menentang tentera AS.
Ikon medan perang
Dakwaan bahawa Abu Azrael ditakuti oleh Unit Khas AS banyak dipengaruhi oleh persepsi dan sejarah panjang penglibatannya menentang tentera Amerika memandangkan beliau dilatih oleh pejuang Hizbullah di Lubnan yang juga merupakan musuh Israel.
Dikenali dengan imej bengis di medan perang, Abu Azrael turut terkenal dengan slogan ikoniknya, Illa Tahin yang bermaksud 'akan ku hancurkan kamu hingga menjadi debu' yang tersebar meluas di platform media sosial.
Sebelum bergelar pejuang, beliau merupakan seorang pensyarah universiti dan pernah bergelar juara tae kwan do.
Beliau diangkat sebagai ikon medan perang ketika Baghdad memperhebatkan kempen menentang Daesh yang mana Abu Azrael tampil sebagai salah seorang komander utama dalam Pasukan Mobilisasi Rakyat (PMF) atau Hashd al-Shaabi.

Pada 2015, beliau telah muncul sebagai figura media global dan wajahnya menghiasi muka hadapan pelbagai akhbar antarabangsa di Eropah serta AS.
Bapa kepada lima anak ini agak popular di beberapa platform media sosial dan mempunyai ramai pengikut.
Abu Azrael juga pernah dianugerahkan pingat oleh wakil pihak berkuasa tertinggi syiah di Iraq, Sayyid Ahmad al-Safi.
Ketika Perang Gaza semakin meruncing, Abu Azrael dikatakan sudah berada hampir dengan sempadan Lubnan-Israel dan hanya menunggu peluang untuk 'menyusup masuk' ke Tel Aviv.
Kemunculannya yang sentiasa diselubungi tanda tanya menjadikan beliau antara watak paling misteri dan sering menjadi tumpuan dalam naratif peperangan di rantau tersebut. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

