10 perang paling singkat dalam sejarah manusia

No Image Caption
A
A
A

APABILA ketegangan memuncak menjadi peperangan, ia biasanya melibatkan siri pertempuran berdarah yang boleh berlanjutan selama bertahun-tahun. Namun begitu, terdapat juga peperangan yang berakhir dengan sangat cepat. Ia biasanya berlaku kerana kekuatan tentera yang tidak seimbang, kekurangan persediaan atau campur tangan kuasa luar yang mempercepatkan tamatnya konflik. Berikut ialah 10 perang paling singkat pernah direkodkan.

1. Perang British–Zanzibar (1896) - Kira-kira 38 minit

Ia berlaku pada 27 Ogos 1896 selepas Khalid Bargash mengambil alih takhta Zanzibar selepas kemangkatan pemerintah terdahulu tanpa kelulusan Britain. Tentera British kemudiannya bertindak mengebom istana Zanzibar kerana keengganan Bargash turun takhta. Konflik itu berakhir dalam tempoh kurang sejam dan menyaksikan lebih 500 orang terbunuh atau cedera.

2. Perang Arab-Israel (1967) - Enam hari

No Image Caption

Konflik itu melibatkan Israel dan beberapa negara Arab termasuk Mesir, Syria dan Jordan. Zionis menawan beberapa wilayah penting seperti Semenanjung Sinai, Genting Gaza, Tebing Barat dan Bukit Golan setelah menandatangani perjanjian gencatan senjata. Israel meneruskan rancangan merampas semula sebahagian kawasan tersebut yang kekal diduduki hingga kini.

3. Perang India–Pakistan (1971) – 14 hari

Artikel Berkaitan:

No Image Caption

Ia berkait rapat dengan konflik di Pakistan Timur (kini Bangladesh). Ketegangan meningkat apabila Pakistan melancarkan operasi ketenteraan terhadap gerakan kemerdekaan di wilayah tersebut. India kemudian campur tangan dengan menyokong kemerdekaan Bangladesh dan melancarkan serangan ke atas Pakistan Barat pada 3 Disember 1971. Dalam tempoh dua minggu, Pakistan mengalami kekalahan besar dan menyerah kalah pada 16 Disember yang membawa kepada penubuhan negara Bangladesh.

4. Perang Serbia–Bulgaria (1885) – 15 hari

No Image Caption

Serbia mengisytiharkan perang terhadap Bulgaria pada 14 November 1885 dengan jangkaan kemenangan mudah. Namun, Sofia berjaya mengalahkan tentera Serbia dalam beberapa pertempuran penting sehingga memaksa Serbia berundur dan menerima campur tangan Austria-Hungary untuk menamatkan konflik tersebut.

5. Perang Georgia–Armenia (1918) – 25 hari

No Image Caption

Konflik tercetus selepas kejatuhan Empayar Rusia, apabila Georgia dan Armenia yang baru merdeka bersaing untuk menguasai kawasan sempadan sempadan Lori, Javakheti dan Borchalo. Ketegangan berubah menjadi pertempuran bersenjata pada Disember 1918, namun tidak mampu meneruskan konflik jangka panjang. Britain kemudiannya campur tangan sebagai kuasa luar dan memaksa kedua-dua pihak menerima gencatan senjata.

6. Perang China–Vietnam (1979) – 27 hari

No Image Caption

Pertempuran berlaku sebagai tindak balas terhadap Perang Kemboja-Vietnam pada 1978. Ketika konflik sebelum itu, Khmer Rouge telah menuntut tanah dan membunuh etnik Vietnam di Kemboja. Hanoi pula telah bertindak balas dengan menyerang dan menduduki Phnom Penh serta menganiaya etnik Cina di sana.

Sebahagian besar pertempuran berlaku di sempadan kedua-dua negara, dan kedua-duanya mendakwa mencapai kemenangan.

7. Perang Greece–Turkiye (1897) – 34 hari

No Image Caption

Ia tercetus akibat ketegangan antara Greece dan Empayar Uthmaniyyah, khususnya berkaitan status Pulau Crete yang ketika itu masih di bawah pemerintahan Uthmaniyyah. Kedua-dua pihak bertelagah saling berbalas serangan. Namun, campur tangan kuasa besar Eropah akhirnya membantu mengawal keadaan dan membawa kepada penyelesaian politik.

8. Perang Balkan Kedua (1913) – 43 hari

No Image Caption

Perang ini berlaku antara 29 Jun hingga 10 Ogos 1913 akibat pertikaian wilayah selepas Perang Balkan Pertama. Bulgaria menyerang Serbia dan Greece kerana tidak berpuas hati dengan pembahagian wilayah Macedonia. Tindakan Romania, Montenegro dan Empayar Uthmaniyyah yang menyertai pihak lawan menyebabkan Bulgaria menyerah kalah serta menandatangani Perjanjian Bucharest.

9. Perang Poland–Lithuania (1920) – 37 hari

No Image Caption

Tempoh perang ini berbeza mengikut sudut pandang kedua-dua negara. Poland menyatakan konflik itu hanya melibatkan perebutan wilayah Suwałki dari September hingga Oktober 1920 manakala Lithuania menganggap perang bermula sejak musim bunga 1919. Kedua-dua pihak akhirnya bersetuju menghentikan pertempuran melalui gencatan senjata.

10. Perang Falklands (1982) – 10 minggu

No Image Caption

Ketegangan bermula pada 2 April 1982 apabila tentera Argentina mendarat di Kepulauan Falkland yang ketika itu merupakan wilayah Britain. Sejurus Buenos Aires menawan dua pulau utama, Britain menghantar pasukan tentera laut dan unit amfibia untuk merampasnya semula. Selepas lebih dua bulan, Britain berjaya mengepung tentera Argentina dan memaksa mereka menyerah kalah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!