X

Kindly register in order to view this article
!

202 etnik Rohingya ditahan di Langkawi

Etnik Rohingya yang ditahan di perairan Langkawi kira-kira jam 8.45 pagi tadi. FOTO: APMM KEDAH PERLIS
A
A

LANGKAWI - Sebuah bot hanyut yang membawa 202 pendatang asing tanpa izin (PATI) dipercayai etnik Rohingya ditahan di 1.2 batu nautika barat daya Pantai Peranginan Resort Ritz-Carlton, Langkawi kerana cuba memasuki negara ini secara haram pagi tadi.

Timbalan Pengarah Operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Negeri Kedah dan Perlis, Kapten Maritim Zulinda Ramly berkata, PATI tersebut telah ditahan oleh pasukannya kira-kira jam 8.45 pagi.

Menurutnya, kesemua yang ditahan telah dibawa ke bilik tahanan APMM Negeri Kedah dan Perlis, Bukit Malut pada tengah hari tadi dan akan diserah kepada Jabatan Imigresen Malaysia untuk tindakan seterusnya.

"Jumlah PATI yang ditahan ialah berjumlah 202 orang terdiri daripada 152 lelaki, 45 wanita, empat kanak-kanak lelaki dan seorang kanak-kanak perempuan," katanya dalam satu kenyataan.

Zulinda berkata, semua anggota yang terlibat telah mengambil langkah ketat dan berjaga-jaga bagi mencegah penularan koronavirus (Covid-19) di kalangan PATI dalam mengendalikan kes tersebut.

"Kami juga sedang menyiasat aduan daripada migran terlibat mengenai empat individu iaitu seorang tekong dan tiga awak-awak yang disyaki dalang kepada sindiket penyeludupan migran yang dipercayai telah melarikan diri semasa di laut," katanya.

Katanya, APMM berharap komuniti maritim dapat menyalurkan aduan sekiranya terdapat salah laku di laut.

"Sebarang aduan dan kecemasan di laut boleh dilaporkan melalui talian MERS 999 dan Pusat Operasi Maritim Negeri Kedah dan Perlis (Langkawi) di talian 04-9662750/04-966 5307," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!