Tergamak bunuh dan kerat kekasih, pinggul disimpan dalam bagasi

NEW DELHI - Seorang pegawai Tentera Laut India, Chintada Ravindra didakwa membunuh kekasihnya, Polipalli Mounika di kediamannya di Visakhapatnam, Andhra Pradesh sebelum mengerat mayat mangsa kepada beberapa bahagian dan menyimpan sebahagian dalam peti sejuk.
Menurut polis, Ravindra, 30, yang bertugas di Indian Naval Ship Dega, mula mengenali Mounika, 31, melalui aplikasi temu janji ‘Mingle’ pada 2021.
Hubungan mereka semakin erat dengan kerap bertemu di taman, pawagam dan lokasi lain di Visakhapatnam.
Kejadian berlaku pada Ahad petang selepas isteri Ravindra pulang ke rumah ibu bapanya di Vizianagaram.
Ravindra dipercayai memanggil Mounika ke rumah untuk menghabiskan masa bersama.
Namun, pertemuan itu berakhir tragis apabila berlaku pertengkaran antara mereka dan Mounika disyaki didera hingga maut.
Polis memaklumkan, Ravindra dipercayai telah membeli sebilah pisau melalui platform dalam talian untuk memotong mayat mangsa.
Bahagian kepala, kaki dan tangan Mounika dipisahkan daripada tubuh.
Sementara bahagian kaki dan pinggul disimpan dalam beg bagasi, tubuh disimpan dalam peti sejuk manakala kepala dan tangan dibawa ke lokasi lain dipercayai dibakar.
Ravindra kemudian menyerah diri di balai polis dan mengaku melakukan pembunuhan itu.
Dia mendakwa bahawa Mounika telah menuntut RM14,835 (sekitar ₹3.5 lakh rupee) daripada dirinya dan sering mengugut untuk mendedahkan hubungan mereka kepada isterinya.
Polis percaya ini menjadi punca pertengkaran berterusan yang membawa kepada kejadian tersebut.
Siasatan awal mendapati bahawa Ravindra telah merancang pembunuhan itu kerana tidak tahan dengan gangguan dan ugutan berterusan daripada Mounika sejak dia berkahwin dengan wanita lain pada 2024.
Pasukan khas polis kini ditubuhkan untuk mengesan bahagian mayat yang hilang.
Kes ini sedang disiasat di bawah laporan pembunuhan.
Kejadian ini mengingatkan masyarakat kepada pembunuhan tragik Shraddha Walkar pada Mei 2022 di Delhi, di mana mangsa juga disyaki dibunuh, dipotong dan sebahagiannya disimpan dalam peti sejuk sebelum dibuang di pelbagai lokasi. - Agensi
Ringkasan AI
- Seorang pegawai Tentera Laut India didakwa membunuh kekasihnya di Andhra Pradesh.
- Mayat mangsa dikerat dan disimpan sebahagiannya dalam peti sejuk, manakala kepala dan tangan dibakar.
- Suspek menyerah diri kepada polis dan mengaku pembunuhan tersebut kerana tekanan ugutan mangsa.
- Pembunuhan dipercayai dirancang akibat gangguan dan ugutan berterusan selepas suspek berkahwin.
- Kes ini sedang disiasat oleh polis dan mengingatkan kepada kes pembunuhan serupa pada 2022.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
