Tiada jaminan bekalan minyak stabil sepenuhnya - Pakar

SHAH ALAM - Keputusan Iran membenarkan kapal tangki minyak Malaysia melalui Selat Hormuz belum cukup untuk menjamin bekalan dan harga bahan api di negara ini kembali stabil dalam tempoh terdekat.
Pengarah Program Sarjana Pentadbiran Perniagaan Putra Business School, Profesor Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, keadaan kekal tidak menentu selagi ketegangan geopolitik di Asia Barat belum tamat sepenuhnya.
"Mungkin ramai yang menyangka bekalan minyak tidak cukup yang menyebabkan harga akan naik. Itu salah satu sebabnya. Tapi ada lagi satu sebab yang mengakibatkan ia meningkat ialah kos insurans dan pengangkutan itu sendiri.
"Walaupun kapal-kapal Malaysia dibenar untuk merentasi Selat Hormuz tapi risiko masih ada. Memang ia boleh membantu untuk mengurangkan harga tetapi selagi tiada jaminan, tidak ada risiko keselamatan, sukar untuk menjangkakan harga minyak turun ke kadar yang sebelum ini.
"Harga minyak mungkin turun tapi ia tidak akan kembali kepada asal kerana masih terdapat risiko yang sukar untuk dijangka. Jadi, konflik kena ditamatkan terlebih dahulu barulah, harga dan bekalan minyak akan stabil sepenuhnya, " katanya kepada Sinar Harian.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kesan kepada bekalan minyak di negara ini susulan Presiden Iran, Masoud Pezeshkian yang membenarkan kapal tangki minyak Malaysia melintasi selat berkenaan.
Sementara itu, ditanya sama ada Malaysia akan menerima akses melalui selat berkenaan selepas ini susulan keputusan dibuat Pezeshkian tersebut, Ahmed Razman berkata, kemungkinan itu ada tetapi ia tetap tidak menjamin sepenuhnya keselamatan kapal yang melalui selat tersebut.
"Untuk Malaysia terima akses itu tidak ada masalah tapi kalau pemilik syarikat kapal tidak berani untuk belayar atas faktor keselamatan kemungkinan disabotaj dan sebagainya ia tetap tidak menyelesaikan isu bekalan.
"Jadi, cara yang terbaik untuk kembali stabilkan bekalan dan harga minyak adalah dengan selesaikan segera konflik di Asia Barat ini," jelasnya.
Ringkasan AI
- Keputusan Iran membenarkan kapal tangki minyak Malaysia melalui Selat Hormuz belum menjamin kestabilan bekalan dan harga bahan api.
- Ketegangan geopolitik di Asia Barat menyebabkan keadaan bekalan minyak kekal tidak menentu.
- Kos insurans dan pengangkutan merupakan faktor yang turut menyumbang kepada kenaikan harga minyak.
- Risiko keselamatan di Selat Hormuz masih ada walaupun kapal Malaysia dibenarkan merentasinya.
- Konflik di Asia Barat perlu ditamatkan untuk menstabilkan sepenuhnya harga dan bekalan minyak.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

