TH anjur pelbagai program infaq, kebajikan sepanjang Ramadan

Pengerusi Surau TH, Mohd Norber Kassim (empat dari kiri) menyerahkan kotak infaq yang mengandungi barangan keperluan asas kepada salah satu penerima bagi Program Serahan Barangan Kempen Infaq Ramadan pada awal bulan ini di Kampung Awah, Maran, Pahang.
Pengerusi Surau TH, Mohd Norber Kassim (empat dari kiri) menyerahkan kotak infaq yang mengandungi barangan keperluan asas kepada salah satu penerima bagi Program Serahan Barangan Kempen Infaq Ramadan pada awal bulan ini di Kampung Awah, Maran, Pahang.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Program Infaq Ramadan anjuran Lembaga Tabung Haji (TH) dengan kerjasama Masjid dan Surau TH berjaya mengumpul sumbangan lebih RM270,000 serta mengagihkan lebih 900 kotak infaq sepanjang bulan puasa lalu.

Ia melibatkan pelbagai aktiviti kebajikan dan pengisian rohani bagi menyantuni golongan yang memerlukan di samping mengimarahkan bulan Ramadan 1447H/2026M.

Program tersebut merangkumi penyaluran sumbangan kepada institusi Pendidikan Islam, pusat kebajikan anak yatim, warga emas, golongan asnaf, orang kurang upaya (OKU) serta saudara baharu (mualaf) di sekitar Kuala Lumpur dan Lembah Klang. Sebahagian dana dan kotak infaq ini merupakan sumbangan daripada warga TH.

Ketua Cawangan Pemerkasaan Sahsiah, Jabatan Modal Insan TH, Shahrul Azam (dua dari kanan) menyerahkan sumbangan tunai dan kotak infaq kepada bekas pengajar Al-Quran, Zahari Ismail di Flat Sri Perlis, Jalan Datuk Keramat, Kuala Lumpur.
Ketua Cawangan Pemerkasaan Sahsiah, Jabatan Modal Insan TH, Shahrul Azam (dua dari kanan) menyerahkan sumbangan tunai dan kotak infaq kepada bekas pengajar Al-Quran, Zahari Ismail di Flat Sri Perlis, Jalan Datuk Keramat, Kuala Lumpur.

Pengarah Urusan Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif TH, Mustakim Mohamad berkata, program tahunan itu telah dilaksanakan sejak 2022 dan menjadi platform penting untuk menggalakkan warga TH turut serta dalam aktiviti kebajikan di samping mengeratkan ukhuwah antara TH dan masyarakat.

“Program Infaq Ramadan ini merupakan platform penting untuk menyemarakkan semangat kongsi rezeki serta menyantuni golongan yang memerlukan khususnya dalam bulan puasa yang penuh keberkatan.

“Ramadan adalah waktu terbaik untuk meningkatkan amalan kebajikan dan memperkukuh hubungan sesama manusia. Melalui program infaq ini, TH berharap dapat membantu meringankan beban golongan yang memerlukan di samping memupuk nilai keprihatinan dalam kalangan masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Dalam usaha memperkukuh ukhuwah, Mustakim memberitahu TH turut menganjurkan Program Semarak Ihya’ Ramadan di Masjid dan Surau TH yang menampilkan pelbagai pengisian sepanjang Ramadan.

Katanya, antara program yang dianjurkan termasuk Majlis Berbuka Puasa, Majlis Tahlil Arwah, Solat Tarawih dan Moreh yang diadakan setiap hari sepanjang Ramadan dan mendapat sambutan menggalakkan daripada warga TH serta masyarakat setempat.

Salah satu program yang turut mendapat perhatian ialah Majlis Berbuka Puasa 'Road to Fitrah' yang diadakan di Dewan Besar TH dengan kehadiran seramai 120 saudara baharu atau mualaf dengan kerjasama Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim).

Sumbangan wang tunai dan kotak infaq disumbangkan kepada Pusat Kebajikan Anak-Anak Yatim dan Asnaf Qaseh Ibu, Kuala Lumpur.
Sumbangan wang tunai dan kotak infaq disumbangkan kepada Pusat Kebajikan Anak-Anak Yatim dan Asnaf Qaseh Ibu, Kuala Lumpur.

Dalam majlis sama, Mustakim turut berkesempatan menyaksikan majlis lafaz syahadah seorang individu bukan Islam yang menerima hidayah untuk memeluk agama Islam.

Inisiatif pengisian rohani yang yang dianjurkan TH bagi menyemarakkan lagi penghayatan Ramadan pula membabitkan Program Ambang Ramadan, Kapsul Ramadan mingguan, Majlis Khatam Al-Quran serta TH Quran Hour yang melibatkan seramai 913 warga TH daripada 142 kumpulan tadarus.

Menariknya, kumpulan tadarus ini telah memulakan bacaan sejak bulan Rejab 1447H melalui pelancaran Program Rejab, Syaaban dan Ramadan (RSR) 2026 di TH.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!