Perniagaan lincah mudah hadapi cabaran getir

WALAUPUN berhari raya, ramai usahawan yang runsing memikirkan cabaran yang bakal mereka hadapi disebabkan kesan peperangan Amerika-Israel dengan Iran yang sedang berjalan di ketika ini. Harga minyak sudah naik, bekalan minyak boleh berkurangan dan kenaikan harga barang sudah menjadi perbualan di ketika menikmati juadah hari raya.
Dari terus runsing dan murung, eloklah kita fokus kepada usaha untuk menjadikan perniagaan kita lincah dan mampu mengubah arah bersesuaian dengan perubahan di dalam ekosistem perniagaan seperti di atas.
Kelincahan bermakna kita boleh dengan cepat mengubah strategi serta taktik yang dilaksanakan untuk mengurangkan risiko di samping terus mencari peluang yang ada di dalam pasaran.
Perkara utama yang perlu diberikan perhatian ialah memastikan bekalan barangan yang kita jual tidak terputus. Ini memerlukan kita menilai semula rantaian bekalan produk, khususnya yang berada di luar negara, sekiranya ada.
Ini adalah kerana setiap negara di dunia ini menerima kesan yang berbeza. Walaupun di negara kita bekalan minyak masih stabil, sudah ada negara-negara mengisytiharkan darurat kerana keputusan bekalan minyak.
Jika pembekal produk kita berada di negara yang ada masalah kos dan logistik, kita kena cepat-cepat mencari pembekal lain yang lebih terjamin bekalannya. Tanpa bekalan yang stabil macam mana kita nak penuhi pesanan pelanggan-pelanggan kita?
Selepas menstabilkan bekalan, kita kena lihat implikasi kos pula. Di dalam keadaan semasa, risiko kenaikan kos barangan dan juga kos pengurusan. Kos yang terlampau tinggi akan memberi kesan ke atas kemampuan pelanggan untuk membelinya.
Di antara keputusan kritikal yang perlu dibuat ialah bagaimana nak tingkatkan produktivi perniagaan dan setakat mana perniagaan boleh memyerap kenaikan kos sebelum menaikkan harga barangan di dalam pasaran.
Kedua-dua langkah kritikal di atas memerlukan kebijaksanaan usahawan dan ahli pasukannya serta data-data dan maklumat sokongan yang membolehkan keputusan-keputusan dibuat dengan tepat dan cepat.
Tanpa sistem penyimpanan dan analisa maklumat yang berkesan, susah nak buat keputusan besar di dalam masa yang singkat. Sekiranya maklumat yang ada sudah lapuk atau pun tidak menggambarkan keadaan yang sebenar, risiko membuat keputusan yang salah adalah tinggi.
Di samping menumpukan kepada apa yang dipasarkan di ketika ini, mencari peluang-peluang baharu juga penting. Ingat lagi bagaimana pelbagai perniagaan mengubah kaedah berniaga dan barangan serta perkhidmatan yang dipasarkan semasa pandemik Covid-19 yang lalu. Bagi usahawan yang sudah melalui pengalaman berkenaan, inilah masa untuk menggunakan pengalaman berkenaan bagi menjadikan perniagaan lebih lincah.
Walaupun kerajaan dijangka akan memperkenalkan tindakan-tindakan yang bertujuan untuk menjaga ekonomi negara, usahawan tidak boleh mengambil sikap tunggu dan lihat. Kita bertanggungjawab sepenuhnya ke atas perniagaan kita.
Jadi, kena usaha sendiri dahulu agar kita cepat-cepat mempersediakan perniagaan untuk menghadapi cabaran yang timbul akibat dari perang Iran ini. Sekiranya selepas ini ada bantuan kerajaan yang boleh kita terima pakai, itu hanyalah bonus sahaja. Jangan berharap orang lain menyelesaikan masalah kita. Pemikiran sebegitu merbahaya.
Walaupun ada berita-berita positif berkenaan bekalan dan harga minyak dari Asia Barat, kita kena ingat peperangan masih berterusan dan macam-macam perkara boleh terjadi. Malah, sekiranya peperangan ini tamat pada hari ini, belum tentu bekalan minyak dan has dari rantau berkenaan akan terus pulih. Kerosakan infrastruktur yang kritikal boleh melambatkan pemulihan bekalan.
Sekiranya kelincahan perniagaan boleh dijadikan satu kelebihan utama di dalam suasana aman, kelincahan perniagaan di kala krisis mungkin menjadi pembeza di antara perniagaan yang mampu berterusan dengan yang terkandas disebabkan gagal untuk bertindak dengan cepat. Jadi, jangan tunggu-tunggu lagi. Bertindaklah sekarang.
*Datuk Nik Mohd Hasyudeen Yusoff ialah bekas Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

