Dakwaan ahli MPP WP minta wang, Hannah arah DBKL lapor polis

PUTRAJAYA - Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh mengarahkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membuat laporan polis dan memulakan siasatan serta-merta berhubung rakaman video yang didakwa memaparkan ahli Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Wilayah Persekutuan meminta wang daripada sebuah pusat urut, dipercayai berlaku di Wangsa Maju.
Menerusi kenyataannya, Hannah menegaskan bahawa sekiranya dakwaan tersebut terbukti benar, ahli MPP terbabit akan dipecat serta-merta tanpa sebarang kompromi.
“Pendirian kita jelas, tiada toleransi terhadap sebarang bentuk wang perlindungan atau amalan orang tengah,” katanya pada Khamis.
Terdahulu, tular rakaman kamera litar tertutup (CCTV) sebuah pusat urut yang memaparkan kehadiran dua lelaki yang memperkenalkan diri sebagai ahli MPP sebelum meminta wang untuk mengelakkan premis tersebut ditutup, kononnya terdapat aduan daripada penduduk.
Dalam pada itu, Hannah menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat supaya membuat aduan kepada Unit Integriti Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP), DBKL dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekiranya terdapat sebarang salah laku, bukan sahaja melibatkan MPP tetapi juga mana-mana pegawai atau agensi di bawah seliaan JWP.
“Kerjasama rapat antara JWP dan SPRM telah diperkukuh bagi memastikan setiap aduan disiasat secara telus dan tindakan tegas dapat diambil. Aduan boleh dibuat melalui portal rasmi JWP, SPRM dan DBKL,” jelas beliau.
Ringkasan AI
- Hannah Yeoh arahkan DBKL lapor polis dan siasat video ahli MPP minta wang di pusat urut Wangsa Maju
- Ahli MPP akan dipecat jika didapati minta wang perlindungan
- Tiada toleransi terhadap amalan wang perlindungan atau perantara
- Rakaman CCTV pusat urut tular tunjuk dua lelaki mengaku ahli MPP minta wang elak premis tutup
- Hannah Yeoh gesa aduan kegiatan salah laku kepada Unit Integriti JWP, DBKL dan SPRM
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

