Pesara rugi RM328,450, sedar ditipu selepas sebulan

Yahaya
Yahaya
A
A
A

KUANTAN - Seorang pesara lelaki berputih mata apabila wang simpanannya berjumlah RM328,450.88 lesap selepas terpedaya dengan sindiket penipuan panggilan telefon yang menyamar sebagai pegawai polis, bulan lalu.

Mangsa berusia 64 tahun hanya menyedari kehilangan wang simpanannya selepas membuat semakan baki akaun bank pada Rabu.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, mangsa pada mulanya menerima panggilan daripada individu tidak dikenali menerusi aplikasi WhatsApp yang menyamar sebagai pegawai polis dari Putrajaya pada 4 Februari lalu.

Menurutnya, suspek mendakwa mangsa terlibat dalam kes jenayah penipuan dan bakal ditangkap sekiranya tidak memberikan kerjasama.

"Mangsa kemudiannya diarahkan untuk membuka dua akaun bank baharu kononnya bagi tujuan pemantauan transaksi kewangan oleh pihak polis serta membantu siasatan.

"Pada 5 Februari, mangsa telah memasukkan wang simpanan miliknya berjumlah RM128,208.88 dan RM200,242 ke dalam akaun-akaun tersebut seperti yang diarahkan," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Yahaya berkata, mangsa turut menyerahkan maklumat perbankan akaun tersebut kepada suspek mengikut arahan yang diberikan.

Bagaimanapun katanya, selepas lebih sebulan berlalu, mangsa melakukan semakan dan mendapati keseluruhan wang di dalam akaun berkenaan telah hilang.

"Mangsa cuba menghubungi semula suspek namun gagal sebelum menyedari dirinya telah diperdaya dan tampil membuat laporan polis di Rompin.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," jelasya.

Sehubungan itu, Yahaya menasihati orang ramai yang menerima panggilan meragukan segera membuat semakan dengan pihak polis atau agensi kerajaan yang berkenaan untuk mengelakkan dari menjadi mangsa penipuan.

Tegasnya, sebarang panggilan yang mendakwa mangsa terlibat dalam kes jenayah serta mendesak tindakan segera seperti membuka akaun bank atau memindahkan wang adalah merupakan taktik penipuan yang sering digunakan oleh sindiket phone scam.

"Orang awam yang mengesyaki menjadi mangsa penipuan dinasihatkan segera menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997," katanya.

Ringkasan AI

  • Seorang pesara lelaki kehilangan wang simpanannya berjumlah RM328,450.88 akibat penipuan panggilan telefon
  • Mangsa berusia 64 tahun menyedari dirinya ditipu setelah semakan baki akaun
  • Dia diperdaya oleh individu yang menyamar sebagai pegawai polis melalui panggilan WhatsApp
  • Mangsa diarahkan membuka dua akaun bank baru untuk tujuan kononnya pemantauan transaksi kewangan
  • Ketua Polis Pahang menasihati orang ramai membuat semakan dengan pihak berkuasa jika menerima panggilan meragukan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!