Keluarga tak sedar anak setahun lima bulan berlari ke tengah jalan - Polis

KUALA PILAH - Kanak-kanak lelaki yang videonya tular berlari ke tengah jalan di Jalan Seremban- Kuala Pilah berhampiran Klinik Desa Tanjung Ipoh di sini disahkan berusia setahun lima bulan.
Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superitenden Mustafah Hussin berkata, siasatan mendapati, kejadian itu berlaku jam 9 malam ketika kanak-kanak terbabit sedang bermain di hadapan rumah.
"Pada jam 3 petang, polis telah mengesan satu rakaman video tular di media sosial memaparkan kejadian seorang kanak-kanak melintas jalan.
"Siasatan polis mendapati, kejadian berlaku malam tadi (Selasa) ketika anak kecil itu sedang bermain di hadapan rumah bersama dua abangnya," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Bagaimanapun ujarnya, kanak-kanak berkenaan secara tiba-tiba melintas jalan tanpa disedari ahli keluarga.
Jelasnya, seorang pengguna jalan raya yang menyedari kejadian tersebut segera memberhentikan kenderaan bagi menyelamatkannya.
"Dia kemudiannya diserahkan semula kepada penjaga dan tiada sebarang kemalangan atau kecederaan dilaporkan berlaku.
"Polis masih belum menerima sebarang laporan rasmi daripada mana-mana pihak berhubung kejadian terbabit," katanya.
Tambahnya, pemantauan rapi dan berterusan dilakukan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Pilah bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya terjamin.
Ringkasan AI
- Kanak-kanak lelaki yang videonya tular berlari ke tengah jalan di Kuala Pilah berusia setahun lima bulan
- Kejadian berlaku malam ketika anak tersebut bermain di hadapan rumah bersama dua abangnya
- Kanak-kanak itu secara tiba-tiba melintas jalan tanpa disedari oleh ahli keluarga
- Seorang pengguna jalan raya menyedari kejadian tersebut dan memberhentikan kenderaannya untuk menyelamatkan kanak-kanak tersebut
- Tiada kemalangan atau kecederaan dilaporkan berlaku dan polis masih belum menerima sebarang laporan rasmi berhubung kejadian tersebut
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

