Sunway University ungguli kebolehpasaran graduan lima tahun berturut-turut

SHAH ALAM - Sunway University muncul sebagai institusi pengajian tinggi terbaik di Malaysia dari segi kebolehpasaran graduan untuk tahun kelima berturut-turut.
Ia berdasarkan Indeks Kebolehpasaran Graduan Nasional 2026 oleh Talentbank iaitu penanda aras paling dipercayai di Malaysia yang dipacu oleh majikan bagi menilai kebolehpasaran graduan.
Indeks tersebut menilai graduan daripada institusi pengajian tinggi di seluruh Malaysia berdasarkan tinjauan menyeluruh pihak majikan, termasuk universiti pilihan untuk pengambilan pekerja, jumlah pengambilan, serta perancangan pengambilan pada masa hadapan.
Presiden dan Naib Canselor Sunway University, Profesor Sibrandes Poppema berkata, pengiktirafan sebagai universiti terbaik di Malaysia bagi kebolehpasaran graduan untuk tahun kelima berturut-turut merupakan satu kebanggaan bagi universiti itu.
Menurutnya, sebagai universiti generasi kelima yang berpaksikan misi, pihaknya komited untuk menyediakan pendidikan yang relevan dengan industri.
"Selain itu, universiti juga berusaha melahirkan bakat bersedia menghadapi masa depan dan memupuk kerjasama bermakna yang memperkasa graduan kami untuk berjaya dalam tenaga kerja global yang pesat berkembang.
"Pencapaian ini mencerminkan dedikasi pelajar, tenaga pengajar dan rakan kerjasama kami dalam memacu impak melalui ilmu dan inovasi.
"Salah satu faktor utama di sebalik kejayaan ini ialah visi Sunway University untuk melahirkan pemimpin yang seimbang dan bersedia menghadapi masa depan melalui inisiatif Success X-Factor Coaching," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Tambah Sibrandes, program tersebut menghubungkan pelajar dengan para pendidik, profesional industri dan pemimpin kanan yang menawarkan pandangan bernilai, perspektif dunia sebenar serta bimbingan.
"Bersama-sama, mereka membentuk rangkaian sokongan kukuh yang membantu pelajar mengharungi cabaran, mengoptimumkan potensi diri, dan membuat persediaan dengan yakin untuk mencapai kejayaan selepas tamat pengajian," ujarnya.
Pencapaian itu menyusul selepas pengiktirafan terkini Sunway University oleh AppliedHE sebagai Universiti Swasta #1 di Asia Tenggara, sekali gus menandakan tahun ketiga berturut-turut institusi tersebut menerajui pendidikan tinggi swasta serantau di ASEAN.
Universiti berkenaan juga telah mencapai satu pencapaian penting dalam penarafan Times Higher Education (THE) World University Rankings 2026 dengan meningkat ke kelompok 301–350 di peringkat global.
Ringkasan AI
- Sunway University dinobatkan sebagai institusi pengajian tinggi terbaik di Malaysia dari segi kebolehpasaran graduan untuk tahun kelima berturut-turut
- Berdasarkan Indeks Kebolehpasaran Graduan Nasional 2026 oleh Talentbank, yang dianggap penanda aras kebolehpasaran graduan paling dipercayai di Malaysia
- Pencapaian ini mencerminkan dedikasi pelajar, tenaga pengajar dan rakan kerjasama Sunway University dalam ilmu dan inovasi
- Sunway University memperkenalkan inisiatif Success X-Factor Coaching untuk melahirkan pemimpin bersedia menghadapi masa depan
- Universiti ini baru-baru ini juga dikenali sebagai Universiti Swasta #1 di Asia Tenggara oleh AppliedHE dan membuat lonjakan dalam penarafan Times Higher Education World University Rankings 2026
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


