X

Kindly register in order to view this article
!

Pembayaran BPN fasa pertama mulai 6 April

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz. -Foto Bernama
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Kementerian Kewangan mengumumkan pembayaran Bantuan Prihatin Nasional (BPN) melalui Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat akan disalurkan kepada mereka yang layak bermula Isnin ini.

Menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, jumlah keseluruhan BPN sebanyak RM9.24 bilion itu akan dibayar dalam dua fasa.

Menurutnya, bagi fasa pertama BPN pakej Prihatin1 yang melibatkan penerima isi rumah dan individu bujang sudah diluluskan dan bakal memberi manfaat kepada 8.3 juta penerima.

“ Pembayaran fasa pertama yang berjumlah RM5.63 bilion ini akan dibuat secara berperingkat mulai 6 April ini.

“Dalam pengumuman awal, pembayaran BPN dijadualkan akan dibayar pada penghujung April 2020, namun ia dapat dilaksanakan dengan lebih awal hasil kerjasama Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) dan Bank Simpanan Nasional (BSN) dalam membolehkan bayaran BPN ini dipercepatkan,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Zafrul turut mengingatkan penerima agar berhati-hati dengan scammers yang semakin berani mengambil peluang menipu orang awam yang memerlukan bantuan ini.

Katanya, penerima disarankan merujuk kepada sumber-sumber rasmi dan tidak memberikan maklumat kepada mana-mana pihak yang tidak dikenali.

“Bagi memastikan BPN sampai kepada mereka yang benar-benar layak, proses semakan atas permohonan baharu dan rayuan akan dibuat. Bayaran akan dibuat pada bulan Mei 2020 bagi permohonan yang telah diluluskan.

“Bagi penerima BPN yang tidak mempunyai akaun bank, pembayaran akan dibuat secara tunai selepas tamat Perintah Kawalan Pergerakan. Penerima BPN di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak yang mempunyai akaun bank akan turut menerima pembayaran ini pada tempoh yang sama seperti di Semenanjung Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Zafrul berkata, bagi penerima di kawasan pedalaman yang tidak mempunyai akaun bank, BPN akan dibayar sekaligus dengan bayaran BSH 2020 fasa ketiga.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus