Diskaun tol 50 peratus sempena Aidilfitri - PM

Diskaun ini akan berkuat kuasa mulai jam 12.01 tengah malam pada 18 Mac 2026 (Rabu) hingga jam 11.59 malam 19 Mac 2026 (Khamis). Foto hiasan
Diskaun ini akan berkuat kuasa mulai jam 12.01 tengah malam pada 18 Mac 2026 (Rabu) hingga jam 11.59 malam 19 Mac 2026 (Khamis). Foto hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Kerajaan bersetuju memberikan diskaun tol sebanyak 50 peratus sempena Aidilfitri dalam usaha meringankan kos perjalanan rakyat pulang ke kampung halaman.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah yang diputuskan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri itu melibatkan tanggungan kewangan berjumlah RM21.03 juta bagi tujuan pampasan kepada syarikat konsesi tol.

"Diskaun itu berkuat kuasa mulai jam 12.01 tengah malam pada 18 Mac 2026 hingga jam 11.59 malam 19 Mac 2026. melibatkan kenderaan persendirian Kelas 1.

"Ia membabitkan semua lebuh raya, kecuali di Plaza Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Plaza Tol Tanjung Kupang, Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia Singapura (LINKEDUA)," katanya pada Selasa.

Anwar menambah, diskaun tol terbabit merupakan sebahagian daripada pakej menyeluruh kerajaan bagi membantu rakyat membuat persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri dalam keadaan ekonomi global yang masih tidak menentu.

Tambah beliau, selain diskaun tol, kerajaan turut melaksanakan pelbagai langkah lain termasuk pemberian cuti tambahan Aidilfitri serta pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan dari 14 hingga 28 Mac 2026.

Sementara itu, Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Ir Mohd Hadzmir Yusoff berkata, sebanyak 3.49 juta kenderaan dijangka memasuki lebuh raya utama di seluruh negara sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Beliau berkata, peningkatan trafik dijangka bermula seawal 18 Mac, khususnya melibatkan pergerakan ke arah Utara, Selatan dan Pantai Timur sempena cuti perayaan.

Mohd Hadzmir menambah, Lebuhraya PLUS dijangka menerima kira-kira 2.30 juta kenderaan, manakala Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) mencatatkan unjuran 295,000 kenderaan.

Artikel Berkaitan:

"Diikuti Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE) sebanyak 215,000, Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak sebanyak 210,000 kenderaan.

"Bagi laluan Pantai Timur, Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 dianggarkan menerima 106,000 kenderaan manakala Fasa 2 pula sebanyak 65,000 kenderaan," tambah beliau.

Menurutnya, lebuh raya sambungan lain seperti Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS) diunjurkan mencatat 159,000 kenderaan dan Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (LATAR) sebanyak 135,000 kenderaan.

Justeru, kongsi beliau, beberapa langkah telah diambil bagi melancarkan aliran trafik termasuk tiada penutupan lorong kecuali kecemasan, pengaktifan 34 lokasi Smart Lane di Lebuhraya PLUS serta pelaksanaan kutipan tol berlapis di plaza tol kritikal.

Katanya, kemudahan di kawasan rehat dan rawat (R&R) dipastikan berada pada tahap optimum termasuk penyediaan tandas mudah alih, bekalan air mencukupi serta penambahan petugas bagi membantu pengguna.

Beliau menasihatkan orang ramai juga merancang perjalanan lebih awal dan mematuhi arahan pihak berkuasa bagi memastikan perjalanan pulang ke kampung berjalan lancar dan selamat.

Ringkasan AI

  • Kerajaan Madani mengumumkan diskaun tol 50 peratus sempena Aidilfitri
  • Keputusan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri untuk membantu rakyat hadapi kos sara hidup
  • Tanggungan kewangan kerajaan RM21.03 juta untuk pampasan kepada syarikat konsesi tol
  • Diskaun berkuat kuasa 18 Mac 2026 hingga 19 Mac 2026
  • Melibatkan kenderaan persendirian Kelas 1 di semua lebuh raya kecuali Plaza Tol BSI dan Tanjung Kupang

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!