10,000 usahawan diperkasakan di 1,098 pusat NADI seluruh negara

KUALA LUMPUR - Bazar Raya Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) 2026 akan berlangsung di 1,098 lokasi di seluruh negara bermula pada Sabtu sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam kenyataan memaklumkan program tersebut menyasarkan penyertaan sehingga 10,000 usahawan iaitu peningkatan dua kali ganda berbanding tahun lalu.
Menurutnya, inisiatif di bawah Perkhidmatan Pintar NADI itu berfungsi sebagai platform memperkasa usahawan komuniti serta meluaskan peluang pemasaran.
"Bazar Raya NADI 2026 merupakan kesinambungan daripada edisi 2025 yang mana ia bukan sekadar platform jualan bermusim sebaliknya menjadi sebahagian daripada usaha berterusan MCMC untuk memperkukuh ekosistem ekonomi digital komuniti.
"Selain itu, ia merapatkan jurang digital serta meningkatkan daya saing sosioekonomi rakyat selaras dengan objektif penubuhan NADI," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

MCMC turut memaklumkan bahawa program tersebut turut menampilkan kolaborasi strategik MCMC dan agensi kerajaan melalui penjualan Rahmah Madani dan Jualan Agro Madani.
"Kerjasama bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) serta Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) ini menyokong aspirasi kerajaan dalam membantu rakyat mendapatkan barangan keperluan pada harga lebih mampu milik menjelang musim perayaan.
"Selain aktiviti jualan, program di lokasi ini turut menampilkan pengisian komuniti seperti penganjuran Kempen Internet Selamat bagi meningkatkan kesedaran orang ramai tentang kepentingan keselamatan Internet dan penggunaan teknologi secara bertanggungjawab," ujarnya lagi.
Bazar Raya NADI di Padang Bola Sri Johor 4AB, Bandar Tun Razak telah dirasmikan oleh Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Terdahulu, Majlis Kick-Off Bazar Raya NADI telah disempurnakan oleh Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil pada 7 Mac lalu di NADI PPR Kerinchi sebagai simbolik pelancaran peringkat nasional.
Selain NADI PPR Kerinchi, program ini turut dipromosikan di lima lokasi tumpuan utama lain iaitu NADI Sungai Tua, Gombak, Selangor; NADI Kampung Dato' Ahmad Said Tambahan 2, Ipoh, Perak; Padang Bola Sri Johor 4AB, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur; Kulai, Johor Bahru dan NADI Kubang Semang (Yayasan Aman), Pulau Pinang.
Ringkasan AI
- Bazar Raya Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) 2026 berlangsung di 1,098 lokasi di seluruh negara
- Menyasar penyertaan 10,000 usahawan, peningkatan dua kali ganda berbanding tahun lalu
- Berfungsi sebagai platform untuk memperkasa usahawan komuniti dan meluaskan peluang pemasaran
- Merupakan kesinambungan dari edisi 2025, bertujuan memperkukuh ekosistem ekonomi digital komuniti
- Turut menampilkan kolaborasi strategik MCMC dan agensi kerajaan, termasuk penjualan Rahmah Madani dan Jualan Agro Madani
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
