Polis tahan individu mengaku pemilik Kerajaan Malaysia

Individu tersebut ditahan selepas mengadakan sidang media itu.
Individu tersebut ditahan selepas mengadakan sidang media itu.
A
A
A

JASIN - Individu yang mendakwa pemilik kerajaan Melayu dengan gelaran 'Sultan Sheikh Ahmad Abdul Kadir Iskandar Zulkarnain' ditahan polis di sebuah homestay di Sungai Rambai, Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Arshad Abu berkata, Ahmad Abdul Kadir, 47, ditahan jam 3 petang dalam serbuan di sebuah lokasi yang sama selepas dia mengadakan sidang media itu.

[ ARTIKEL BERKAITAN: Individu dakwa pemilik sebenar Kerajaan Malaysia ]

Menurutnya, penahanan dibuat berdasarkan laporan polis yang dibuat oleh Ketua Balai Polis Sungai Rambai setelah siasatan awal mendapati ketika sidang media lelaki itu terdapat unsur menderhaka kepada Yang di-Pertuan Agong dan menghasut rakyat melalui media supaya menyokong tuntutannya.

"Pada sidang media yang dihadiri lebih kurang 100 orang terdiri daripada pengikutnya dia juga telah mempamerkan beberapa barangan artifak dikatakan milik diraja sebagai bukti beliau merupakan pemerintah yang sah.

"Kita menjalankan siasatan dibawah seksyen 419 kanun keseksaan kerana kesalahan memperdaya dengan tujuan menipu.

"Selain itu seramai 20 ahli pertubuhan telah dirakam percakapan turut menjalani ujian saringan air kencing dan didapati negatif," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Tambah Arshad, pihaknya turut merampas pelbagai jenis senjata dan barangan seperti sepuluh bilah keris dan lapan pedang pelbagai saiz, sebuah dulang tembaga, sebuah batu jade jenis tujuh naga dan tombak di dua lokasi berasingan termasuk di rumah mertua individu itu dan di lokasi sidang media.

Artikel Berkaitan:

"Pelbagai dokumen seperti resit bayaran ahli Pertubuhan Sultan Sheikh Ahmad Abdul Kadir Iskandar D'zulkarnain (SSAAKIDZ) turut dirampas dan siasatan mendapati pertubuhan itu tidak pernah berdaftar dengan jabatan pendaftaran pertubuhan (ROS).

"Siasatan awal juga mendapat lelaki yang bekerja sendiri, mempunyai empat rekod jenayah lampau dibawah kesalahan kes penipuan curi dalam bangunan dan gagal memberi keterangan di negeri Perak," katanya.

Lelaki yang ditangkap dibawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah (KAJ) direman selama empat hari hingga 17 Januari ini bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.

Sinar Harian sebelum ini menyiarkan Ahmad Abdul Kadir mendakwa memiliki seluruh kekayaan di negara ini serta mempunyai kaitan dan kepentingan di beberapa negara di dunia.

Bagaimanapun kerajaan negeri melalui Ketua Menteri Adly Zahari menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan mengenai dakwaan lelaki terbabit yang mengaku mempunyai kaitan dengan kerabat diraja serta pemilik sebenar kerajaan Malaysia.