Wanita melecur 70 peratus kemalangan dua kenderaan

KUALA LUMPUR - Seorang wanita melecur kira-kira 70 peratus manakala dua lagi individu mengalami kecederaan ringan dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Jalan Tun Razak berhampiran Kelab The Avenue di sini awal pagi Khamis.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur memaklumkan, lapan anggota bersama sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Tun Razak dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada 5.21 pagi.
"Nahas itu membabitkan sebuah kereta jenis Peugeot yang dipandu wanita berkenaan dan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Vellfire yang dinaiki oleh seorang pemandu berserta penumpangnya,” menurut JBPM Kuala Lumpur dalam kenyataan.
Menurut kenyataan itu, kereta Peugeot berkenaan didapati terbakar 100 peratus manakala pemandunya yang berusia 20-an berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum pasukan bomba tiba di lokasi kejadian.
"Kebakaran kenderaan tersebut berjaya dipadamkan sepenuhnya pada 5.32 pagi dan kesemua mangsa diserahkan kepada pihak ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan lanjut,” katanya.
Terdahulu, insiden berkenaan turut tular di media sosial susulan kesesakan lalu lintas yang teruk dilaporkan berlaku di sekitar lokasi kejadian.- Bernama
Ringkasan AI
- Seorang wanita melecur kira-kira 70 peratus dalam kemalangan di Jalan Tun Razak
- Dua lagi individu mengalami kecederaan ringan
- Kemalangan membabitkan sebuah kereta Peugeot dan MPV Toyota Vellfire
- Kereta Peugeot terbakar 100 peratus, pemandunya diselamatkan oleh orang awam
- Kebakaran berjaya dipadam dalam masa kurang daripada 15 minit, mangsa diserahkan kepada ambulans KKM
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
